Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Rakyat luluskan belanjawan dua lagi kementerian

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi dua kementerian di peringkat jawatankuasa melalui undian suara.

Dua kementerian tersebut adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bagaimanapun Dewan Rakyat menyaksikan kehadiran kurang memberangsangkan dari kalangan anggota parlimen ketika proses undian dijalankan.

Bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hanya seorang anggota parlimen yang boleh didengar menyuarakan bantahan.

Bagaimanapun, speaker Dewan Rakyat Azhar Harun memutuskan ia diluluskan secara "sebulat suara".

Sebelum ini kerajaan berjaya meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerusi undi belah bahagi.

Kerajaan meluluskan sebelas belanjawan kementerian pada minggu ini.

Empat belanjawan diluluskan menerusi undi belah bahagi manakala tujuh lagi melalui undian suara.