Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP mahu Willie dirujuk ke jawatan kuasa hak dan kebebasan

PARLIMEN | Pejabat speaker Dewan Rakyat diberitahu mengenai usul untuk merujuk Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin (PN-Puncak Borneo) ke jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Menurut surat yang dihantar Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Willie menunjukkan isyarat jari tengah sebanyak dua kali kepada anggota parlimen lain semalam.

Menurut Khoo, perbuatan Willie melanggar Peraturan Tetap 36 (4) dan 41 (a) dan tata etika sebagai seorang ahli parlimen.

Katanya, perbuatan itu perlu diberi perhatian serius kerana merupakan sesuatu yang lucah, biadab dan menghina kemuliaan dewan.

"Maka dengan ini saya menyeru supaya Datuk Yang di-Pertua mengambil tindakan yang tegas dan segera demi memelihara integriti dan kemuliaan Dewan Rakyat," katanya dalam surat berkenaan.

Terdahulu di Dewan Rakyat hari ini, Khoo bertanya mengenai tindakan yang akan diambil Azhar terhadap Willie.

Bagaimanapun, Azhar berkata dia tidak nampak perbuatan tersebut dilakukan oleh Willie.

Speaker itu juga mengatakan dia telah meneliti rakaman video beberapa kali termasuk dalam gerakan perlahan, tetapi tidak dapat memastikan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

Azhar juga mengatakan dia telah meminta penjelasan Willie sendiri, yang menafikan perkara itu.

Selepas persidangan itu, Khoo mengetuai beberapa ahli parlimen lain mengadakan pertemuan dengan speaker bagi menunjukkan gambar yang didakwa sebagai bukti.

Willie didakwa menunjukkan jari tengah semasa ahli parlimen bersiap sedia untuk undi belah bahagi, selepas ahli parlimen Bersatu itu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bersorak 'pengkhianat' yang ditujukan kepada ahli parlimen Puncak Borneo itu.

Pada Feb 2018, Willie adalah antara 10 Ahli Parlimen yang melompat dari PKR dalam gerakan politik yang dikenali sebagai "Langkah Sheraton", yang menyebabkan

kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Willie adalah ahli Parlimen kali pertama.