Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lembaga pengawas Facebook jadikan ciapan Dr M kes pertama

Satu catatan kontroversi oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berikutan pembunuhan di Perancis adalah kes pertama yang dipilih oleh lembaga pengawas bebas Facebook, di mana keputusan syarikat media sosial untuk membuang beberapa kandungan dari platformnya dinilai.

"Seorang pengguna menyiarkan tangkapan layar dua ciapan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, di mana bekas Perdana Menteri itu menyatakan bahawa "Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu." dan" [b] Secara umumnya Umat Islam Muslim tidak mempraktikkan darah harus dibalas darah. 

"Pengguna tidak menambahkan kapsyen di samping tangkapan layar. Facebook membuang hantaran itu kerana melanggar polisi mengenai ucapan kebencian. Pengguna mengatakan dalam rayuan mereka kepada lembaga pengawas itu bahawa mereka ingin meningkatkan kesedaran mengenai "kata-kata mengerikan" bekas perdana menteri itu," kata lembaga pengawas berkenaan dalam pengumumannya hari ini.

Lembaga itu dibentuk oleh Facebook sebagai respons terhadap kritikan mengenai pengendalian kandungannya yang bermasalah, mengatakan ia menerima 20,000 kes sejak dibuka pada Oktober.

Catatan Mahathir adalah antara tiga daripada enam kes yang melibatkan kandungan yang dikeluarkan oleh Facebook kerana melanggar peraturan mengenai ucapan kebencian.

Mahathir sendiri mendakwa pandangannya mengenai isu di Perancis diputar belit untuk menggambarkannya sebagai menggalakkan keganasan.

Ini berlaku setelah kritikan meluas termasuk daripada orang kenamaan asing dan selepas Twitter dan Facebook memadamkan catatan ahli politik itu, yang muncul setelah penyerang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain di sebuah gereja di Nice, Perancis.

Satu lagi kes melibatkan sebuah hantaran mengenai seorang kanak-kanak yang meninggal dunia lengkap berpakaian di pantai dengan teks yang disertakan (dalam bahasa Burma) yang bertanya mengapa tidak ada tindakan terhadap China atas perlakuannya terhadap Muslim Uyghur, berbeza dengan pembunuhan baru-baru ini di Perancis berkaitan dengan kartun.

Kes ucapan benci ketiga melibatkan pengguna yang menyiarkan gambar sejarah yang menunjukkan gereja di Baku, Azerbaijan, dengan teks yang menyertakan bahawa Baku dibina oleh orang Armenia dan bertanya di mana gereja-gereja itu kini sebelum secara tersirat mengatakan ia dihancurkan oleh "pencerobohan Azerbaijan" dan "vandalisme".

Jurucakap Lembaga Pengawasan berkata kes-kes ucapan kebencian merupakan "bahagian yang paling signifikan" daripada rayuan yang diterima.

"Ucapan kebencian adalah bidang yang sangat sukar," kata Jamal Greene, salah seorang pengerusi bersama dan seorang profesor di Columbia Law School, dalam wawancara dengan Reuters.

Anggota dewan Facebook menetap di 27 negara dan bercakap sekurang-kurangnya 29 bahasa, walaupun seperempat kumpulan dan dua daripada empat pengerusi bersamanya berasal dari Amerika Syarikat, di mana syarikat itu beribu pejabat.

Selain Greene, yang memilih anggota lain bersama Facebook, adalah bekas hakim persekutuan AS dan pakar kebebasan beragama, Michael McConnell; peguam Colombia, Catalina Botero-Marino dan bekas perdana menteri Denmark Helle Thorning-Schmidt.

Antara kumpulan awal adalah bekas hakim Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, András Sajó; Pengarah Eksekutif Internet Sans Frontières, Julie Owono, aktivis Yaman dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Tawakkol Karman;  bekas ketua pengarang The Guardian, Alan Rusbridger dan peguam hak digital Pakistan, Nighat Dad.