Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah tangguh keputusan rayuan Mkini berhubung saman RAGM

Mahkamah Persetujuan menangguhkan penghakiman terhadap rayuan Malaysiakini dalam kes saman fitnah syarikat Raub Australian Gold Mining (RAGM).

Panel lima hakim mendengar rayuan itu secara atas talian di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya sementara peguam membuat penghujahan daripada firma masing-masing.

Media dibenarkan mengikuti siaran langsung daripada dewan di Istana Kehakiman.

Prosiding diadakan secara atas talian susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Panel hakim dianggotai oleh hakim Mahkamah Persekutuan Ong Lam Kiat, Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal.

“Kami ucapkan terima kasih pada peguam kedua-dua belah pihak atas penghujahan masing-masing.

“Kami perlu masa untuk meneliti hujah-hujah dan penghujahan bertulis dan autoriti berkaitan rayuan.

“Kami tangguhkan keputusan dan akan maklumkan kepada pihak-pihak berkaitan selepas keputusan tersedia,” kata Ong, yang mengetuai panel itu.

Cyrus Das mewakili Malaysiakini manakala Cecil Abraham bertindak bagi pihak RAGM.

Malaysiakini merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari 2018 yang mengarahkan portal ini membayar RM350,000 - merangkumi ganti rugi RM200,000 dan kos RM150,000 - kepada RAGM kerana memfitnah.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak tuntutan RAGM.

RAGM memfailkan saman itu susulan beberapa siri laporan Malaysiakini berkaitan kebimbangan penduduk Bukit Koman di Raub, Pahang terhadap kesihatan mereka.

Mereka mendakwa sianada digunakan dalam kegiatan perlombongan emas di situ.

Lombong emas itu tidak lagi beroperasi.

Mahkamah Persekutuan antaranya akan memutuskan rayuan itu berdasarkan hujah pelaporan berita (reportage).

Malaysiakini sebelum ini mengumpulkan RM350,000 daripada pembaca dan penyokong dalam tempoh dua minggu untuk menampung kos ganti rugi dan kos mahkamah.

Malaysiakini diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 2018.

Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, yang mengetuai panel tiga anggota sebelum ini, membenarkan sembilan persoalan perlembagaan diketengahkan kepada Mahkamah Rayuan berkaitan hak pelaporan dan sama ada kerugian bagi fitnah patut diberikan kepada syarikat yang tidak lagi beroperasi.


Atas nasihat guaman, kemudahan komen bagi berita ini tidak disediakan. - pengarang.

[Baca berita asal]