Roziah Janor TNC baru UiTM
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor, 57, sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata pelantikan Roziah itu menggantikan Prof Dr Mohamad Kamal Harun, 60, yang telah menamatkan tugasnya semalam.
"Roziah merupakan pakar bidang matematik dan statistik di Fakulti Sains Komputer dan Matematik. Beliau telah berkhidmat di UiTM selama 30 tahun di pelbagai peringkat pengurusan, akademik dan penyelidikan serta kualiti.
"Sebagai timbalan naib canselor baharu, Roziah diharap terus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UiTM sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nora berkata Roziah juga adalah penggerak penting dalam meningkatkan penarafan UiTM sejak lima tahun berturut-turut bermula apabila beliau menjadi Penolong Naib Canselor (Kualiti) pada 2015.
"Terbaru, ranking UiTM telah melonjak ke tangga 108 terbaik di Asia dari tangga 181 pada 2017, iaitu 17 peratus terbaik dalam kalangan 634 institusi pengajian tinggi di Asia," katanya.
Sementara itu, pihak UiTM turut mengucapkan terima kasih atas khidmat dan kepimpinan Mohamad Kamal sepanjang menyandang jawatan timbalan naib canselor dari 16 Sept 2017 hingga semalam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai