Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Politik boleh tunggu' - Masidi harap k'jaan pertimbang darurat di Bugaya

Jurucakap kerajaan Sabah bagi Covid-19 Masidi Manjun mencadangkan agar pengisytiharan darurat dapat dipertimbangkan di Bugaya, bagi mengelakkan PRK diadakan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, langkah sama telah dibuat di Batu Sapi.

Dia bagaimanapun maklum bahawa pelaksanaan PRK di bawah bidang kuasa SPR dan hal itu juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi kalau kita ambil keadaan di Batu Sapi, ada langkah yang boleh diambil untuk mengelak diadakan pilihan raya.

"Jadi kita harap SPR akan melihat apa yang dikuatkuasakan di Batu Sapi ini sebagai pilihan yang boleh dipertimbangkan," katanya dalam sidang media semalam.

Masidi berkata demikan ketika ditanya berkenaan PRK Bugaya yang dijadual berlangsung pada 16 Januari 2021.

Mengulas lanjut, Masidi berkata kini terserah kepada SPR untuk menasihati kerajaan pusat mengenai perkara itu.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan persekutuan pula perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharaan darurat.

SPR sebelum ini menetapkan 16 Januari 2021 sebagai tarikh mengundi bagi kedua-dua PRK DUN Bugaya dan Parlimen Gerik di Perak.

Semalam Dewan Rakyat dimaklumkan kerajaan akan mempertimbang untuk mencadangkan pengisytiharan darurat bagi kedua-dua pilihan raya itu sekiranya mempunyai risiko penularan Covid-19.

Kerusi DUN Bugaya kosong selepas penyandangnya Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November lalu akibat penyakit buah pinggang.

Di pihak kerajaan negeri, Masidi berkata keutamaan Sabah kini adalah menangani penularan jangkitan Covid-19.

“Pada saat ini, saya fikir perkara lain boleh tunggu, politik boleh tunggu. Namun, kita tidak boleh tunggu untuk mengambil langkah sepatutnya untuk menghentikan pandemik ini dari menjadi lebih teruk.

“Keutamaan kerajaan Sabah adalah menangani penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Situasi Covid-19 di Sabah meningkat ke tahap kritikal berikutan pilihan raya negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Negeri itu mencatatkan jumlah jangkitan dan kematian baru paling tinggi selama beberapa minggu.

Semalam, Sabah mencatatkan kedudukan kedua tertinggi di seluruh negara dari segi jangkitan baru, iaitu 326 kes baru dan satu kematian.

Negeri itu juga menduduki tempat kedua dari segi jumlah kes aktif, dengan 5,388 kes.