Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah arah IGP, 3 yang lain fail pembelaan dalam kes saman Indira

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ketua Polis Negara (IGP) dan tiga yang lain mengemukakan pernyataan pembelaan terhadap saman oleh guru tadika, M Indira Gandhi.

Mahkamah mengeluarkan arahan itu semasa pengurusan kes e-semakan (secara dalam talian) pagi ini.

Pada 28 Okt lalu, Indira Gandhi memfailkan tindakan undang-undang terhadap ketua polis negara (yang tidak disebutkan dalam saman berkenaan), Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Dia bertindak menyaman pihak polis atas dakwaan enggan mencari bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah dan mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa.

Indira berjuang mendapatkan semula hak penjagaan Prasana, yang didakwa diambil oleh Riduan.

Peguam Indira, Rajesh Nagarajan hari ini mengesahkan keputusan pengurusan kes saman pagi ini.

"Mahkamah memberikan arahan berikut, (di antaranya untuk) defendan mengemukakan pernyataan pembela pada atau sebelum 2 Dis 2020.

"Plaintif akan membuat tuntutan balas terhadap pernyataan pembelaan itu pada atau sebelum 16 Dis 2020.

"Pengurusan kes seterusnya melalui e-review ditetapkan pada 30 Dis 2020," katanya kepada Malaysiakini.

Rajesh menambah mahkamah juga mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan permohonan interlokutori sebelum pengurusan kes berikutnya.

Dilaporkan bahawa salinan saman telah diserahkan kepada keempat-empat defendan pada awal Nov.

Pada Januari, ketua polis negara memaklumkan dia mengetahui lokasi bekas suami Indira, Riduan dan memintanya menyerah diri.

Ini walaupun waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk menahan Riduan, yang telah melarikan diri bersama Prasana.

Prasana masih kanak-kanak ketika bapanya - sebelum itu dikenali sebagai K Pathmanathan - melarikannya pada tahun 2009 setelah memeluk Islam.

Riduan dan Indira menggunakan saluran undang-undang setelah Riduan secara sepihak menukarkan agama Prasana dan dua anak mereka kepada Islam.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan polis mengambil Prasana dari ayahnya.

Pada tahun 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan IGP menahan Riduan.

Pada tahun 2018, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa penukaran anak-anak secara sepihak tidak sah kerana keputusan seperti itu memerlukan kebenaran daripada kedua ibu bapa.

Mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Riduan.

Menurut salinan saman yang dikemukakan Indira Gandhi, IGP didakwa gagal mematuhi dua perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014.

Perintah pertama adalah perintah komital agar Riduan dipenjarakan kerana gagal menyerahkan Prasana kepada Indira. Perintah kedua pula adalah untuk mengambil Prasana daripada Riduan dan menyerahkannya kepada Indira.

[Baca berita penuh]