Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan dengar rayuan Mkini berhubung saman RAGM esok

Mahkamah Persekutuan esok akan mendengar rayuan Malaysiakini berhubung saman fitnah oleh syarikat Raub Australian Gold Mining (RAGM) melalui perbicaraan secara dalam talian.

Perkara itu disahkan melalui e-mel dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang dikeluarkan semalam.

Rayuan itu akan dilakukan melalui perbicaraan secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. PKPB di kawasan-kawasan ini dijangka berakhir pada 6 Dis.

Pendengaran rayuan ditetapkan esok, berikutan penangguhannya pada 8 Okt lalu.

Penangguhan itu disebabkan kemungkinan akhbar Utusan Malaysia akan menyelesaikan rayuan dalam saman fitnah terhadapnya oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.

Rayuan Utusan pada mulanya ditetapkan untuk didengar bersama-sama dengan rayuan Malaysiakini pada 8 Okt.

Namun, Mahkamah Persekutuan menangguhkan perkara itu esok ketika diberitahu mengenai kemungkinan penyelesaian dalam rayuan Utusan.

Berdasarkan kepada e-mel yang dihantar, liputan media mengenai prosiding esok dibenarkan melalui penstriman video di Istana Kehakiman pada jam 8.30 pagi.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat dijangka akan mendengar rayuan itu esok bersama hakim Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim dan Rhodzariah Bujang.

Mahkamah tertinggi itu dijadualkan mendengar rayuan Malaysiakini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Jan 2018 yang memerintahkan portal berita itu membayar sejumlah RM350,000 kepada RAGM kerana memfitnahnya.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelumnya yang menolak tuntutan RAGM.

Malaysiakini dijangka diwakili peguam Cyrus Das, manakala Cecil Abraham akan mengetuai barisan peguam bagi pihak RAGM.

RAGM mengemukakan saman berhubung laporan Malaysiakini mengenai kebimbangan masalah kesihatan penduduk Bukit Koman di Raub, Pahang yang terdedah kepada natrium sianida yang digunakan di lombong tersebut dalam pengambilan bijih emas di sana.

Sejak itu lombong emas itu tidak lagi beroperasi.

Salah satu isu penting yang akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan ini adalah sama ada pembelaan berhubung reportage atau pelaporan harus diterima.

Walaupun pembelaan seumpama ini dibenarkan di beberapa negara, ini adalah kali pertama perkara itu dibawa ke mahkamah Malaysia.

Reportage adalah pembelaan terhadap saman fitnah. Ia biasanya melibatkan organisasi media yang menyiarkannya semula demi kepentingan umum dan melalui pelaporan yang tidak berat sebelah mengenai tuduhan terhadap tokoh awam atau entiti.

Organisasi media yang menggunakan pembelaan ini berpendapat bahawa mereka tidak memaksudkan perkara itu benar tetapi hanya melaporkan - secara berkecuali - bahawa pernyataan yang berpotensi fitnah itu dibuat oleh pihak ketiga.

Pada 23 Mei 2016, Malaysiakini memenangi kesnya di Mahkamah Tinggi yang memerintahkan lombong emas itu membayar kos sebanyak RM50,000.

Namun, pada 11 Jan 2018, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Setelah keputusan dibuat Mahkamah Rayuan, Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM350,000 daripada pembaca dan penyokongnya dalam tempoh dua minggu untuk membayar ganti rugi dan kos.

Setelah memberikan kebenaran kepada Malaysiakini untuk mencabar keputusan mahkamah rayuan pada 2018, hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, yang mengetuai hakim tiga anggota ketika itu, mengatakan persoalan undang-undang yang diajukan ke mahkamah tertinggi itu harus menumpukan kepada pembelaan pelaporan dan apakah ganti rugi boleh dilakukan kepada syarikat yang telah mengalami kebankrapan.

[Baca berita asal]