Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peniaga, restoran gembira dapat kembali buka sampai 12 tengah malam

Pelaksanaan PKPB di kebanyakan negeri beberapa minggu lalu pastinya memberi kesukaran kepada peniaga. Apatah lagi kebanyakannya masih dalam usaha untuk 'menggantikan' pendapatan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

Ini kerana dengan pelaksanaan PKPB, waktu operasi mereka dihadkan kepada jam 10 malam, berbanding jam 12 tengah malam di bawah PKPP (pemulihan).

Justeru, pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang restoran dan kedai serbaneka kembali dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam bermula 24 Nov lalu pastinya disambut baik peniaga.

Beberapa peniaga yang dihubungi Malaysiakini meluahkan kegembiraan mereka susulan pengumuman itu walau masing-masing masih berdepan cabaran ekoran wabak Covid-19 yang masih menular.

Dua pengusaha gerai burger Muhammad Shafiq Karim, 23, dan Muhammad Amer Adham Zakaria, 32, mengakui pengurangan waktu operasi selama dua jam itu memang menjejaskan keuntungannya.

"Saya kecewa sebab orang selalu makan tengah malam, tapi boleh buka (gerai) sampai pukul 10 malam. Agak terjejas sikit," kata Muhammad Shafiq.

Muhammad Shafiq

Muhammad Amer pula berkata dia memang berasa gusar sebelum pengumuman lanjutan waktu operasi diumumkan.

Menyifatkan lanjutan itu sebagai wajar, dia berkata menanggung "kerugian 60 peratus" kerana kekurangan pelanggan yang "takut keluar rumah" gara-gara Covid-19.

"Pada awalnya saya agak terkesan sebab boleh berniaga tetapi tidak boleh tutup lambat.

"Sekarang, saya bersyukur apabila kerajaan dah bagi kelonggaran tutup lewat dalam pukul 12 tengah malam," katanya yang telah mengusahakan gerai burger itu sejak tahun 2017, di samping kerja tetap sebagai pembantu stor di Kuala Lumpur.

Muhammad Amer

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikuatkuasakan sejak 14 Oktober lalu dan setakat ini dilanjutkan sehingga 6 Disember.

PKPB di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu pula bermula 9 November dan juga dijadual tamat pada 6 Disember.

Setakat hari ini, sebanyak 64,485 kes positif telah dilaporkan di Malaysia, dengan 357 kematian. Kes aktif pula setakat ini sebanyak 11,481 kes.

'Pelik dengan had pelanggan di meja'

Pemilik restoran Kadirio Kitchen di Rawang, Norhakimin Ambia pula berkata kawalan pergerakan setakat ini menyebabkan dia menanggung "kerugian 30" peratus sejak dua bulan memulakan perniagaan.

Bermodalkan RM20,000, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun berkata dia sudah menjangkakannya.

Justeru, katanya, penambahan waktu operasi selama dua jam itu akan dapat membantu perniagaannya.

"Alhamdulillah, gembira juga walaupun masih ada had untuk pelanggan yang datang," katanya.

Bagaimanapun dia membangkitkan persoalan berhubung prosedur operasi standard (SOP), misalnya had dua pelanggan di satu meja, terutama terhadap keluarga.

"Pada saya pelik kalau dihadkan untuk keluarga. Malah pelanggan pula biasanya tidak melakukan banyak pergerakan (seperti di pasar raya dan pasar malam)," katanya.

SOP bilangan pelanggan berdasarkan saiz meja. Pada masa ini, seramai empat pelanggan dibenarkan duduk di meja besar, dan dua orang di meja kecil.

Kedudukan antara meja juga perlu dijarakkan bagi mematuhi amalan penjarakan sosial.

Suka dalam duka

Pemilik restoran D' Anjung Timur Shah Alam, Mohd Rizal Sarbani, 49, turut gembira dengan lanjutan had operasi perniagaan yang diumumkan.

Bagaimanapun dia berdepan masalah lain pula, iaitu pekerja warga Thailand yang masih dilarang masuk ke dalam negara, menyebabkan dia tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya lanjutan tersebut.

"Kedai kita sebelum ini tutup pukul 12 tengah malam tapi selepas PKP yang pertama, pekerja-pekerja saya dari Thailand kena balik (negara asal).

"Jadi saya berniaga sampai pukul enam petang saja, sebab pekerja (Thailand) tak boleh masuk balik," katanya,

Ditanya jika ingin menambah bilangan pekerja, Rizal menjelaskan dia akan menunggu para pekerjanya dari Thailand dibenarkan masuk semula ke Malaysia.

Tambah Rizal, ketiadaan pekerja warga asing itu memberikan impak yang besar dalam perniagaannya.

"Sebelum PKP, berniaga dari pagi sampai pukul 12 tengah malam boleh dapat RM9,000. Sekarang ini, kita berniaga sampai pukul enam petang, RM6,000 dapatlah," katanya.