Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Pesta main air banjir berkumpulan boleh dikompaun RM1,000'

Orang ramai di Rantau Panjang dan Pasir Mas diingatkan bahawa mereka yang didapati suka ria bermain air secara berkumpulan di tempat yang dilanda banjir sekitar Pasir Mas, boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata surat pemakluman mengenai tindakan kompaun itu sudah dihantar kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaan.

“Pihak kami khuatir akan berlaku pesta bermain air yang sudah sinonim dalam kalangan masyarakat negeri ini apabila tiba musim tengkujuh sekiranya tiada tindakan tegas diambil,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Menurutnya setiap tahun apabila berlakunya banjir, pekan Rantau Panjang diibaratkan seperti 'taman tema air’ bagi penduduk di Kelantan malah gerai jualan turut dibuka di sekitar kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Roy berkata sekiranya ada peniaga yang membuka gerai di sekitar Rantau Panjang berhampiran kawasan yang digenangi air seperti tahun-tahun yang lepas, mereka turut akan dikenakan tindakan tegas, melainkan jika mendapat kelulusan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

Katanya beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan, dengan kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.