Shahril: Umno berhak dapat jawatan TPM
Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan mempertahankan pemimpin partinya berhak mendapat jawatan timbalan perdana menteri.
Ini meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin dan anggota parti itu tidak mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan timbalan perdana menteri dengan memberikan kuota berkenaan kepada Umno.
Kenyataan Zahid muncul beberapa jam selepas Mingguan Malaysia menerbitkan wawancara dengan naib presiden Umno, Ismail Sabri yang mengatakan pihaknya akan membangkitkan isu jawatan timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin selepas perbahasan Belanjawan 2021.
Zahid tidak mungkin dilantik sebagai timbalan perdana menteri sekiranya jawatan itu diadakan semula.
Pada masa ini, pemimpin Umno paling kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional ialah Ismail Sabri, yang memegang jawatan menteri kanan dan menteri pertahanan.
Antara punca jawatan timbalan perdana menteri dihapuskan ketika Muhyiddin berkuasa juga sebahagiannya dikatakan kerana Zahid.
Menurut Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, perdana menteri harus diberi ruang seluasnya untuk memimpin negara, serta menentukan corak pentadbirannya tanpa ada sebarang tekanan.
Katanya, soal berkaitan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri adalah merupakan hak istimewa atau prerogatif perdana menteri.
“Perdana menteri fikir tidak perlu ada jawatan timbalan perdana menteri dan gunakan sistem empat menteri kanan, kita terima.
“Kalau sekarang perdana menteri berubah fikiran nak seorang timbalan perdana menteri pun kita terima,” katanya pada 29 Okt lalu.
Muhyiddin dikatakan menolak untuk melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri kerana dia sedang dibicarakan mahkamah atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Shahril pada hantaran di Facebook berkongsi artikel Ismail mahu berbincang jawatan timbalan perdana menteri dan Zahid berkata supaya jangan mendesak Muhyiddin mengenai hal tersebut.
Ketua penerangan Umno itu dalam kenyataan berbentuk dialog bertanya:
"Adakah Umno berhak dapat jawatan TPM dan bincang isu tersebut pada ketika yang sesuai?"
Shahril kemudian menjawab "ya" dengan memberikan jumlah MP Umno yang besar di Dewan Rakyat, "tengok komposisi parlimen."
Umno membentuk blok terbesar dalam kerajaan PN, menyumbang 38 ahli parlimen diikuti oleh Bersatu pimpinan Muhyiddin dengan 31 kerusi. GPS dan PAS menyumbang jumlah MP ketiga terbesar dengan masing-masing 18 ahli parlimen.
Setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada bulan Mac, Muhyiddin memecahkan tradisi pentadbiran negara dengan tidak melantik timbalan perdana menteri.
Sebaliknya, dia melantik empat menteri kanan dengan dua pemimpin daripada Bersatu, seorang pemimpin Umno dan satu GPS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai