Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hujan lebat sejak 3 petang, tiga daerah di Kedah banjir kilat

Penduduk di beberapa kawasan di tiga daerah di Kedah terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang bermula sejak 3 petang tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata daerah terjejas ialah Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda.

"Di Kulim, empat mukim terjejas iaitu Mukim Sungai Ular di mana 21 buah rumah di Kampung Paya ditenggelami air, melibatkan 105 mangsa. Kesemua mereka telah dipindahkan ke kawasan yang selamat, namun buat masa ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

"Di Mukim Padang Meiha pula, 15 mangsa dari lima rumah di Kampung Manggis telah dipindahkan, manakala bagi Mukim Padang Cina dan Sungai Seluang yang turut terjejas kita masih belum menerima maklumat penuh," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata bagi daerah Bandar Baharu, kawasan yang terjejas ialah Mukim Serdang melibatkan empat buah kampung, iaitu Kampung Sungai Punti, Kampung Lombong A Batu 16, Kampung Tengah dan Kampung Bukit Buluh.

"Seramai 25 mangsa dari lima rumah di mukim itu telah dipindahkan selepas paras air naik hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat turun sejak 3 petang tadi. Ini menyebabkan air di Sungai Punti naik mendadak sehingga melimpah ke jalan utama dan kampung berdekatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata tiga kawasan dilanda banjir kilat di daerah itu membabitkan Kampung Huda, Taman Kenari Jaya dan Kampung Haji Wahab.

"Banjir berlaku akibat hujan lebat yang berterusan sejak 3.20 petang tadi. Hingga 8 malam ini, sebanyak enam buah rumah telah dinaiki air namun jumlah sebenar rumah yang terjejas masih belum diperoleh.

"Air telah naik hingga paras pinggang dan mangsa telah dipindahkan ke tempat selamat, bagaimanapun setakat ini belum ada pusat pemindahan yang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata hujan lebat yang turun berterusan mengakibatkan sistem perparitan gagal berfungsi dengan baik di beberapa kawasan, sekali gus menenggelamkan kawasan terbabit.

- Bernama