Cukai untung luar biasa pengeluar sarung tangan boleh jejas pelaburan
Pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat pengeluar sarung tangan yang mencatat keuntungan berikutan pandemik Covid-19 adalah dasar yang tidak konsisten yang akan memberi isyarat salah kepada pelabur dan ia akan menjejaskan kemasukan pelaburan negara ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sekiranya cukai itu dilaksanakan, ia akan membuat pelabur berfikir dua kali sebelum melabur di negara ini atau kemungkinan mereka memilih untuk melabur di negara-negara jiran seperti Vietnam dan Singapura yang tidak mengenakan cukai keuntungan luar biasa.
"Kamu boleh mengenakan cukai seperti itu tetapi anda mungkin memberi isyarat yang salah terutama untuk ekonomi terbuka seperti Malaysia," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Belanjawan 2021 Kemenangan Rakyat” yang disiarkan di Bernama TV, hari ini.
Tengku Zafrul berkata dasar harus untuk dirangka untuk tempoh jangka panjang dan tidak berdasarkan kepada keuntungan jangka pendek.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman telah mendesak kerajaan untuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa kepada pembuat sarung tangan kerana berpendapat bahawa ia telah mengaut keuntungan yang tinggi dalam persekitaran pandemik Covid-19.
Sementara itu, Tengku Zafrul meluahkan keyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 akan berkembang antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus sama seperti unjuran kerajaan.
Katanya, jangkaan KDNK 2021 adalah berdasarkan kepada pelbagai andaian seperti peningkatan permintaan ekonomi dan juga vaksin Covid-19 yang diharapkan akan tersedia pada suku pertama 2021, ia akan kesan limpahan positif ke atas Malaysia.
"Saya optimis bahawa KDNK untuk tahun 2021 akan berada dalam lingkungan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus dan saya tidak sendirian..ini bukan unjuran saya, tetapi unjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.
"Dan jangkaan kami adalah seiring seperti dilakukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Asian Development Bank dan agensi penarafan lain yang memberi unjuran antara enam hingga lapan peratus," katanya.
Untuk mencapai sasaran pertumbuhan ditetapkan tahun depan, Tengku Zafrul berkata perkara paling penting yang harus dilakukan adalah melaksanakan dasar dengan baik.
Mengenai unjuran KDNK untuk suku keempat 2020, Tengku Zafrul mengakui bahawa kesan buruk akan berlaku terutama kepada sektor runcit dan pelancongan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk Lembah Klang sejak pertengahan Oktober.
Beliau berkata Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK negara.
"Tetapi ia tidak akan seburuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac, kesan hariannya menelan belanja sekitar RM2.0 bilion hingga RM2.4 bilion sementara semasa PKPB, kesan hariannya adalah sekitar RM300 juta kerana aktiviti ekonomi, pembuatan dan eksport masih beroperasi seperti biasa," katanya.
Ekonomi negara merosot 17.1 peratus pada suku kedua akibat PKP tetapi meningkat kepada -2.7 peratus pada suku ketiga 2020 ketika perniagaan dibuka semula secara berperingkat.
Ekonomi negara dijangka susut 4.5 peratus pada tahun 2020.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai