Mat Sabu pertahan kerjasama di saat Anwar dihujani kritikan
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata dia tetap akan mempertahankan hubungan kerjasama dengan Anwar Ibrahim meskipun sebelum ini dilaporkan “geram dan kecewa” terhadap keputusan presiden PKR itu berkenaan undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Dia berkata apabila sudah bergabung "berpisah adalah sukar", walau pada masa sama menyatakan pendirian bahawa usaha harus dibuat untuk menambah rakan seperjuangan dan mengurangkan seteru.
Katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sikap itu jugalah yang menyebabkannya enggan “meninggalkan dan menghentam” bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berselisih dengan Anwar, selepas menjalin kerjasama sebelum PRU14 lalu.
“Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ia membuahkan kejayaan. Begitu jugalah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Anwar.
“Hal yang sama berlaku dalam perhubungan dengan Mahathir. Apabila ada suara menasihatkan saya untuk meninggalkan Mahathir dan menghentam beliau, saya katakan tidak.
“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali diantara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas hubungan dalam PH dan khususnya Anwar, Mat Sabu berkata ia sudah terjalin selama 20 tahun dengan pelbagai kesukaran yang ditempuhi, justeru perlu dipertahankan.
"...Di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing masing yang boleh diperbaiki. Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan," katanya.
Mahathir yang sebelum ini mengetuai PH tidak lagi di dalam gabungan itu setelah kejatuhan pentadbiran pimpinannya akhir Februari lalu.
Dia dilantik menjadi perdana menteri selepas kemenangan dalam PRU14 dengan janji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.
Ekoran kejatuhan kerajaan PH, Mahathir menyalahkan orang nombor dua dalam partinya, Muhyiddin Yassin dengan dakwaan mengkhianatinya. Pun begitu, ada pihak dalam PKR yang menyalahkan Mahathir kerana tidak berunding dengan PH sebelum meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Hubungan dingin antara Anwar dan Mahathir turut meretakkan hubungan pembangkang.
Misalnya, dalam Amanah ada sebahagian yang mahu pimpinan parti memutuskan hubungan dengan Mahathir.
Menghuraikan pendiriannya berkenaan kerjasama dalam politik, Mohamad membangkitkan sejarah kerjasama yang dijalinnya sejak berada dalam PAS.
'Sejak 1980-an'
Katanya, pada 1980-an, dia pada mulanya sukar menerima kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah walaupun selepas itu tetap berkempen di seluruh negara, dan malah sepentas dengan Tengku Razaleigh sendiri.
Begitu juga ketika PAS bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar nama kepada PKR) untuk menentang Mahathir sejak akhir 1990-an.
Anwar dihujani kritikan setelah dia memutuskan agar wakil rakyat pembangkang tidak melakukan undi belah bahagi semasa bacaan kedua Belanjawan 2021 Khamis lalu.
Ini setelah Anwar pada September lalu mendakwa Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat dan dia mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.
Undian itu boleh dilihat sebagai satu bentuk undi percaya kepada Muhyiddin Yassin dan akan menunjukkan tahap sokongan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Selepas sidang, Anwar berkata keputusan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi adalah agar pembangkang tidak dilihat menolak sepenuhnya Belanjawan 2021 yang turut menyertakan tambahan bantuan kepada rakyat.
Katanya lagi, PH akan meminta undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa, ketika Dewan Rakyat akan mengundi setiap peruntukan kementerian.
Bagaimanapun, sumber dalam PH memberitahu Malaysiakini keputusan Khamis lalu mungkin ekoran Anwar tidak dapat meraih cukup sokongan untuk menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan.
Usaha untuk menolak bahagian tertentu dalam Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa atau bacaan ketiga (undian terakhir) juga mungkin dapat memberi lebih masa untuk rundingan meraih sokongan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai