Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalang utama insiden tembak anggota PGA direman

Suspek utama kes tembakan di antara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dua hari lepas adalah antara tiga lelaki tempatan dan seorang warga Thailand yang ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perlis Surina Saad.

Katanya kepada Bernama, suspek utama itu merupakan warga tempatan berusia 45 tahun.

Terdahulu, perintah reman hingga 2 Dis terhadap empat lelaki terbabit dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar Monica Joseph Gaisah yang membenarkan permohonan pihak polis.

Keempat-empat suspek berusia 26 hingga 45 tahun itu tiba di kompleks mahkamah dengan berpakaian lokap dan bergari kira-kira jam 9.10 pagi dan dibawa keluar dari bilik reman kira-kira 50 minit kemudian.

Dalam insiden awal pagi Selasa itu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Mendiang Baharuddin - daripada suku kaum Semelai - meninggal dunia di tempat kejadian, manakala =Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

Semalam, 15 warga tempatan diperintahkan direman selama empat hari manakala tiga rakyat Thailand direman seminggu bagi membantu siasatan kes itu.

- Bernama