Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Koperal Baharuddin selamat disemadikan

Jasad anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam, mendiang Koperal Baharuddin Ramli, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo hari ini.

Mendiang selamat dikebumikan pada 12.20 tengah hari dengan penuh tradisi kepolisan.

Pengebumian yang berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dan suasana pilu itu dihadiri ratusan orang bagi memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Abd Rahim Jaafar, Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terbunuh selepas berlaku tembak-menembak dengan penyeludup manakala rakannya Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Kampung Sungai Sampo di sini meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berumur antara 18 hingga 32 tahun.

Sementara itu, bapa mendiang, Ramli Derus, 75, menyifatkan anak sulungnya itu baik dan sering bertanya khabarnya.

Katanya, mendiang amat meminati kerjaya sebagai anggota polis sejak dari kecil.

"Berita kematiannya agak menyedihkan saya. Dia selalu telefon saya bertanyakan khabar," katanya sambil mengalirkan air mata.

Ramli berkata seingatnya kali terakhir mereka bertemu adalah pada Oktober lepas.

"Kalau telefon, dalam minggu lepas semasa dia bertugas di sana (Padang Besar, Perlis)," katanya.

Dalam pada itu, Ramli menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mengurusan pengebumian anaknya.

- Bernama