Polis buka semula kertas siasatan kematian Teoh Beng Hock
PARLIMEN | Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung kes Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009, mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis di laman sesawang parlimen memaklumkan kertas siasatan sebelum ini dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada 24 Feb lepas dan PDRM diminta untuk meneruskan siasatan.
“PDRM diminta mengemukakan kembali kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara setelah siasatan lengkap dijalankan.
“Polis telah menjalankan rakaman percakapan ke atas 13 orang saksi dan siasatan masih berjalan,” demikian menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status terkini kes kematian Teoh, selain meminta jumlah saksi yang telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang ialah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 18 Nov tahun lepas, PDRM menubuhkan pasukan siasatan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian Teoh susulan arahan Peguam Negara pada 16 Julai 2019 supaya kes yang sebelum ini diklasifikasi sebagai mati mengejut itu disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai