Selepas tak lagi terbang akibat Covid-19 - bahagian 2
Industri penerbangan adalah antara yang paling teruk terjejas, dengan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan yang berlaku di seluruh dunia.
Awal bulan ini, Malindo Air memberhentikan 2,647 pekerja kerana masalah kewangan yang disebabkan wabak Covid-19 manakala AirAsia memberhentikan sekitar 2,400 pekerja.
Justeru Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkata kerajaan akan memperuntukkan dana RM50 juta untuk melatih semula dan menyediakan penempatan pekerjaan untuk 8,000 kakitangan syarikat penerbangan.
Malaysiakini bertemu dengan beberapa pramugari dan berikut adalah kisah mereka.
Jadi 'cookie specialist' sementara cari peluang - Nabila Annisa Mohammad Kamal Tan, 23
Menjadi pramugari sememangnya adalah cita-cita saya sejak zaman persekolahan. Sepanjang tiga tahun belajar di kolej, beberapa kali saya hadir ke temuduga tetapi nasib tidak menyebelahi.
Ketika menjalani latihan industri, saya buat kesekian kalinya mencuba nasib dan kali ini peluang terbuka. Saya tidak menyangka ia bakal menjadi titik tolak kerjaya sebagai kru kabin.
Saya masih ingat panggilan telefon yang diterima pada pukul 5.30 petang itu, daripada pihak syarikat yang memaklumkan saya diterima.
Saya tidak mengambil masa panjang dan melaporkan diri dua hari kemudian. Hari pertama melapor diri adalah pengalaman manis yang tak akan dilupakan.
Dan sehinggalah pada penerbangan terakhir, saya mendapat pelbagai pengalaman dan tidak kurang juga cabaran.
Selepas menjalani rutin seperti taklimat dan perjumpaan dengan kru penerbangan yang sama, kami akan mula memakai apron dan menyiapkan hidangan buat penumpang.
Selesai urusan hidangan, saya akan mula membuat jualan dalam pesawat serta memenuhi keperluan penumpang.
Berdepan pelanggan dari pelbagai latar belakang juga satu pengalaman. Memang ada yang memberi cabaran, selalunya saya akan kuatkan mental untuk berdepannya.
Diminta pulangkan seragam
Apa-apa pun, ia bukanlah satu masalah kerana sejak mula bekerja, saya sudah memasang niat untuk ikhlas membantu semua orang.
Antara yang dinanti-nantikan oleh semua kru kabin semestinya hentian malam.
Rutin ini dilalui selama dua tahun. Tarikh 2 November 2020 adalah hari terakhir saya bekerja sebagai pramugari. Apa yang menyedihkan adalah saya tidak dimaklumkan tentangnya.
Saya diminta untuk memulangkan semula seragam, beg dan pas penerbangan.
Bagaimanapun jika diberi peluang menjadi pramugari lagi, saya akan merantau sebanyak tempat yang boleh, baik penerbangan domestik mahupun luar negara.
Buat masa sekarang, saya mencari rezeki dengan menjual manisan berjenama Cookie Specialist sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik.
Memang sukar untuk mendapatkan pekerjaan pada masa ini, tetapi saya tak akan berputus asa untuk mencari peluang baru.
Cari kerja bidang lain pula – Aina Najwah Rozi, 21
Pada hari itu saya masuk kerja seperti biasa dan terus menunggu di pejabat. Ia merupakan rutin bagi setiap kru kabin untuk bersedia jika ada kakitangan lain tidak dapat bertugas, atau kekurangan kru.
Masuk empat jam menunggu, saya agak hairan apabila tidak menerima apa-apa panggilan.
Itu adalah hari terakhir saya bertugas sebagai pramugari, setelah memulakan kerjaya itu lima bulan sebelumnya.
Saya tidak dimaklumkan lebih awal bahawa itu adalah hari terakhir saya memakai seragam dan bertugas.
Sebaik saja menyedari apa yang akan berlaku, saya mula mengimbau kenangan, ketika menerima gaji pertama dan kesempatan menemui pelbagai jenis watak dan orang dari pelbagai bangsa.
Berdepan dengan penumpang yang bermasalah pula meningkatkan keberanian dan kemahiran saya dalam mengawal keadaan dengan memberi nasihat kepada mereka untuk tidak berbuat demikian.
Janggal menjadi biasa
Saya diterima bekerja sebagai pramugari setelah menghabiskan lebih kurang empat bulan latihan industri di sebuah syarikat aeroangkasa.
Rasa janggal memulakan hari seawal jam 4.15 pagi akhirnya menjadi kebiasaan, apatah lagi kami memang perlu melapor diri tiga jam sebelum masuk waktu kerja.
Antara rutin yang perlu dijalani adalah taklimat ringkas bersama kru yang akan turut bertugas ketika penerbangan, sebelum membuat persediaan seperti memeriksa peralatan keselamatan kru, memeriksa tandas kabin dan memastikan makanan di dapur mencukupi.
Selepas itu barulah kami menyambut penumpang yang mula menaiki kapal terbang.
Di sini, saya berpeluang berkomunikasi dengan penumpang pelbagai bangsa dan warga negara. Setelah mendarat, saya berpeluang pula merantau ke tempat-tempat baru.
Walaupun agak sedih kerana tidak lama dalam bidang ini, saya tetap bersyukur kerana cita-cita untuk menjadi pramugari tetap menjadi kenyataan.
Setelah diberhentikan pada Oktober lalu, saya merancang untuk mencari pekerjaan dalam bidang lain walaupun mempunyai diploma pengurusan penerbangan kerana penularan wabak Covid-19 masih belum mereda.
Semuanya sudah tertulis oleh-Nya. Mungkin ada hikmahnya disebalik pemberhentian mendadak ini. Jika dilihat dahulu saya sibuk memikirkan kerja sahaja namun kini dapat berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.
Wawancara ini telah disunting untuk kejelasan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai