Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKPB di Kelantan mulai esok - Ismail Sabri

Susulan peningkatan kes Covid-19,  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan selama dua minggu bermula esok 21 November, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan kementerian itu menjalankan saringan secara bersasar serta mengurangkan pergerakan penduduk termasuk rentas negeri dan daerah.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, terdapat peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di beberapa daerah dan mukim di Kelantan.

“Bagaimanapun, keputusan berkaitan aktiviti agama ditentukan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media perkembangan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail juga mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di K Avenue Mega City di Penampang, Sabah bermula 22 Nov hingga 5 Dis ini.

Ia melibatkan 400 individu di kawasan itu merangkumi pekerja di pejabat, asrama pekerja dan tapak binaan.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menarik balik PKPB di Melaka dan Terengganu.

Turut ditamatkan mulai esok adalah PKPB di Kedah, kecuali bagi daerah Kulim. Begitu juga di Johor, PKPB ditamatkan kecuali di daerah Kota Tinggi dan Mersing.

Sebelum ini, semua negeri di Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan diletakkan di bawah PKPB . Sebahagian besar Sarawak juga dikecualikan dari PKPB selain Kuching.


BACA BERKAITAN:

KEMAS KINI 13 (NOV) PKPB: Apa yang boleh dan tak boleh anda lakukan


Ismail Sabri juga memaklumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah tamat hari ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.