Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kaedah lobi baru perlu untuk hak kerakyatan anak wanita warga M'sia

Usaha lobi bersasar dan giat perlu diteruskan ke arah pindaan perlembagaan yang diperlukan untuk hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam soal kewarganegaraan pasangan dan anak mereka, menurut tokoh yang memperjuangkan hak kanak-kanak.

Ahli panel dalam forum berkenaan cabaran dihadapi keluarga dari negara berbeza ketika Covid-19 yang diadakan hari ini, maklum berkenaan meningkatnya masalah susulan penutupan sempadan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, usaha penyelesaian digerakkan ketika pentabdiran PH lalu namun cabaran utama adalah pendekatan konservatif oleh pihak membuat keputusan (gatekeeper) dalam pentabdiran di Putrajaya.

"Walaupun dengan (bekas) timbalan perdana menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kami tidak dapat mengubahnya, hanya kerana pihak-pihak ini.

"Menteri Dalam Negeri akan bertanya 'apa yang kita perlu buat?' kepada pihak ini dan mereka akan kata 'ia tak boleh dilakukan' dan 'ini terlalu sukar'," kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

"Sebab itu saya kata kita perlu cari kaedah baru untuk melobi, terutama Menteri Dalam Negeri, kerana pada masa ini terlalu banyak kuasa budi biacara pada seorang individu," katanya lagi.

Menurut Yeoh, hasil daripada usaha libat urus Wan Azizah pada masa itu hanyalah janji daripada Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri ketika itu, untuk mempercepat proses untuk ibu warga Malaysia mendaftarkan anak sebagai warganegara.

Bagaimanapun, katanya, janji itu hanyalah untuk mengumumkan permohonan kewarganegaraan baru sedangkan terdapat lebih 40,000 kes tertunggak di Jabatan Imigresen.

Perempuan warga Malaysia yang berkahwin dengan bukan warga dan melahirkan anak di luar negara tidak dapat memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada anaknya.

Perlembagaan Persekutuan hanya menjamin kerakyatan kepada anak yang lahir di luar negara yang berbapakan warga Malaysia.

Pakar perunding pediatrik Dr Amar Singh pula berkata, persepsi negatif terhadap warga asing di Malaysia menyukarkan usaha mendapatkan sokongan awam untuk menukar dasar ini.

Selain usaha advokasi berterusan pelbagai kumpulan, dia juga membangkitkan perlunya menimbang untuk melakukan lobi bersasar kepada individu berpengaruh.

"Maaf ya, saya mungkin terlalu jujur. Jalan sebenar untuk awak beritahu seseorang, (jika) anda ada kabel dan orang iu berkata 'baik, saya akan lakukannya'.

"Jika anda kenal orang, banyak yang anda boleh lakukan dalam perkhidmatan awam untuk mengubah dasar. Ini menyedihkan.

"Mungkin kita kena tengok siapa kawan ketua pengarah Imigresen dan melobinya, bisikkan ke telinganya, mungkin ini pendekatan yang lebih baik," katanya.

Secara keseluruhan, Amar berkata pemisahan terpaksa melibatkan keluarga dengan kewarganegaraan berbeza di tengah-tengah wabak Covid-19 boleh membawa pelbagai masalah terhadap anak.

"Bagi (anak-anak) yang terpisah (dengan ibu atau bapa), penderitaan mereka meningkat.

"Saya tak rasa komunikasi dalam talian boleh menggantikan keberadaan fizikal seorang ibu atau bapa," katanya.

Panel lain dalam forum sempena hari Kanak-kanak Sedunia itu adalah pengasas bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) Bima Ramanand dan Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal.

[Baca berita asal]