Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

92 peratus anak muda M'sia sedar 'darurat' perubahan iklim - Tinjauan PBB

Sekitar 92 peratus anak muda Malaysia yang mengambil bahagian dalam Tinjauan Nasional Anak Muda Mengenai Perubahan Iklim (NYCC) berpendapat perubahan iklim adalah krisis yang perlu ditangani dengan segera.

Tinjauan yang dikeluarkan di dalam laporan "Perubahan Untuk Iklim" itu juga mendapati sembilan daripada sepuluh anak muda di Malaysia telah merasai pengalaman kesan berkaitan alam sekitar dan iklim sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Daripada hanya menyaksikan peningkatan aras laut naik, anak muda perlu bangkit, memimpin gerakan, dan menggerakkan gelombang perubahan untuk hari esok yang lebih baik.

"Manusia adalah akar permasalahan ini, tetapi kita juga dapat menjadi jalan penyelesaian," kata aktivis muda pencinta alam sekitar Toh Zhee Qi, seorang pelajar undang-undang di Universiti Malaya.

Tinjauan NYCC ini melibatkan 1,393 responden anak muda di Malaysia. 

Laporan itu disiapkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dengan sokongan NGO tempatan EcoKnights.

Gambar hiasan:  Kebakaran seluas 3 juta ekar kawasan di California pada Ogos lalu.

Antara masalah yang diketengahkan oleh anak muda ini bahawa untuk menjalani gaya hidup mesra iklim, ia memerlukan belanja mahal. 

Mereka juga merasakan tindakan individu tidak menyumbang banyak perbezaan, menyebabkan wujud perasaan putus asa terhadap masalah alam sekitar yang sungguh besar.

Hasil tinjauan berkenaan membentuk dasar syor-syor yang disorot dalam laporan tersebut, iaitu:

  • Memudahkan polisi iklim yang dipimpin oleh anak muda melalui rundingan berkala dan penyertaan yang bermakna dalam proses pembuatan polisi iklim.
  • Jadikan tindakan menyelamatkan iklim lebih mudah diakses dan melibatkan semua orang dengan mengalihkan perbincangan di luar pusat bandar untuk mendorong anak muda dari keluarga luar bandar dan berpendapatan rendah ikut turut serta.
  • Menawarkan platform dan sokongan serta mengenali aktivis anak muda tempatan, kumpulan masyarakat dan organisasi masyarakat sivil yang mengetuai inisiatif tindakan menyelamat iklim.

Laporan ini dikeluarkan sebagai tanda merayakan Hari Kanak-kanak Sedunia esok (20 Nov).

Gambar Hiasan: Anak muda turun ke jalan bawa isu darurat iklim.

"Cara kita melibatkan anak muda hari ini dalam isu-isu kritikal seperti perubahan iklim akan menentukan prospek planet kita dan pembangunan lestari," kata Niloy Banerjee, Wakil UNDP untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

"Anak muda membawa semangat dan komitmen luar biasa untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik. Kita harus memanfaatkan potensi anak muda sebagai agen perubahan yang kuat, melibatkan dan memperkasakan mereka dalam pengembangan polisi dan mendukung penyertaan mereka dalam tindakan iklim pada semua peringkat,” tambah Banerjee.

"Orang muda telah memberitahu kami bahawa mereka prihatin terhadap alam sekitar. Pada Hari Kanak-kanak Sedunia ini, kita mesti meletakkan iltizam untuk mendengar dan melibatkan mereka dalam keputusan yang bakal menentukan corak masa depan kita bersama.

"Perbincangan sebegini mesti melangkaui pusat kota dan menyediakan platform untuk anak muda dari kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah yang sudahpun memimpin inisiatif tindakan iklim," kata Perwakilan Unicef di Malaysia, Rashed Mustafa Sarwar.

Ancaman jangka sederhana, panjang

Awal minggu ini, Setiausaha Agung Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Jagan Chapagain memberitahu sidang media maya bahawa walaupun Covid-19 menimbulkan ancaman yang sangat serius pada masa ini, besar kemungkinan perubahan iklim akan memberi kesan yang lebih buruk dalam jangka masa sederhana dan panjang.

"Covid-19 adalah krisis yang sangat serius sedang dihadapi dunia ketika ini tetapi IFRC menjangkakan bahawa perubahan iklim akan memberi kesan jangka sederhana dan jangka panjang yang lebih besar terhadap kehidupan manusia dan bumi," katanya.

Gambar hiasan: Cuaca ekstrem, banjir antara kesan perubahan iklim.

Katanya, lebih 100 bencana telah melanda dunia - banyak di antaranya berkaitan dengan perubahan iklim - sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak Covid-19 pada bulan Mac.

Memandangkan nampaknya satu atau beberapa vaksin akan segera tersedia bagi menangani Covid-19, Chapagain menekankan bahawa "sayangnya tidak ada vaksin untuk perubahan iklim dan ia memerlukan tindakan dan pelaburan yang lebih mampan untuk benar-benar melindungi kehidupan manusia di bumi."

Program pelancaran laporan Perubahan Iklim dengan tinjauan UNDP-Unicef NYCC, Dialog Anak Muda mengenai Perubahan Iklim akan dikendalikan oleh Toh esok (20 Nov) pada jam 8 malam secara dalam talian.

Untuk mendaftar penyertaan dalam webminar ini, layari ke pautan: https://tinyurl.com/youthtalksclimatechange

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.