Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelantan kembali hadkan operasi premis, larangan aktiviti sukan

Susulan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini, Kelantan kembali menguatkuasakan langkah-pangkah tambahan bagi mengekang penularan Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Nazran Muhammad (bawah) berkata, antara langkah yang diambil adalah menghadkan kapasiti kehadiran di majlis perkahwinan seramai 150 orang pada satu-satu masa dan operasi premis perniagaan dihadkan sehingga 11.30 malam.

"Waktu operasi stesen minyak dan kedai runcit juga dihadkan sehingga 12 tengah malam, manakala bilangan pelanggan di kedai makan maksimum empat orang sahaja bagi satu meja makan tertakluk kepada penjarakan satu meter bagi setiap pelanggan dan dua meter bagi setiap meja.

"Semua majlis keraian hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis berlangsung," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

 Selain itu tambahnya, semua acara sukan dan latihan yang membabitkan aktiviti bersentuhan tidak dibenarkan.

Katanya, langkah proaktif yang berkuat kuasa segera itu diambil bagi membendung penularan Covid-19 susulan mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Yakob semalam.

"Sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memberi kerjasama dengan pihak polis bagi melaksanakan penguatkuasaan dan langkah-langkah berkenaan," kata Nazran.

Sementara itu Ahmad berkata, langkah proaktif itu berkuatkuasa serta merta mulai semalam dan meminta semua rakyat Kelantan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

"Arahan itu benar, kita lihat bila ada peningkatan kes Covid-19, kita menambah baik langkah-langkah membendung penularan wabak ini," katanya ketika ditemui, hari ini.