Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Banjir kilat di daerah Kinta akibat hujan lebat

Hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di daerah Kinta sejak lewat petang tadi hingga tengah malam ini menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata kawasan terjejas ialah Ulu Chemor serta kawasan Mukim Lahat iaitu Kampung Sri Aman Fasa 2, Kampung Sri Kinta Jalan 1, Kampung Pengkalan Gate, Kampung Temiang, Buntong, Kampung Kuala Pari dan Kampung Pasir Putih Tambahan.

"Kita turut menerima aduan banjir kilat melanda kawasan sekitar pusat membeli-belah Aeon Falim yang menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air.

"Laluan ke arah tempat itu telah ditutup oleh pihak polis bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya," menurutnya dalam kenyataan di Ipoh malam ini.

Beliau berkata pihaknya sedang memfokuskan kawasan perumahan dan kediaman penduduk namun tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini.

Katanya banijir kilat bermula pada 7.30 malam itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan limpahan air Sungai Chemor selain paras Sungai Pari yang tinggi.

"Kawasan terjejas dilaporkan dinaiki air sehingga 0.9 meter namun semakin surut di beberapa kawasan," katanya.

- Bernama