Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Mukhriz cadang pinda perlembagaan elak pilihan raya

PARLIMEN | Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Ketika berbahas di Parlimen hari ini, bekas menteri besar Kedah itu, berkata bagi tujuan itu satu usul secara rasmi akan dihantar ke Dewan Rakyat.

Muhkriz juga turut menyeru ahli Parlimen lain termasuk pihak kerajaan menyokong cadangan berkenaan.

"Jerlun ingin mengusulkan agar satu pindaan terhadap perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan berhubung pembubaran dewan.Dibuat dibawah peraturan mesyuarat 18 dibaca bersama persaturan mesyuarat 14 dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat

"Tujuan usul ini adalah membenarkan kerajaan menunda pilihan raya atas alasan kesihatan atau keselamatan rakyat sehinggalah ancaman itu berakhir.

"Ini sangat diperlukan ketika ini kerana keadaan undang sekarang yang mendesak pilihan raya diadakan semasa situasi ancaman Covid-19," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod Perkara 55 (3) menyatakan, melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

Malaysia kini dijangka berdepan tiga pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh terdekat membabitkan Parlimen Batu Sapi, Grik dan DUN Bugaya selepas kematian penyandangnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Dis sebagai tarikh PRK Batu Sapi.

Dalam pada itu Mukhriz berkata, apa yang dikemukakannya adalah selaras dengan kehendak kerajaan memohon darurat bagi menyekat PRK diadakan ketika Covid-19.

"Walaupun memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Jerlun percaya bahawa kerajaan juga ingin memastikan Covid-19 ditangani sebaik mungkin dan tidak bermain politik saja.

"Dan kerajaan harus menyokong cadangan pindaan ini, malah ada baik jika kerajaan sendiri derafkan usul untuk dibentangkan di dewan yang mulia ini,' katanya.