Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PN kekalkan keputusan PH tak sertai ICC

PARLIMEN | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan keputusan kerajaan terdahulu yang menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar, berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penarikan diri Malaysia daripada ICC.

"Pada 29 April 2019, PBB menghantar surat mengesahkan keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom dan Malaysia telah dikeluarkan secara rasmi.

"Kerajaan (PN) mengekalkan keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Kamarudin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PH- Petaling Jaya) berhubung status Malaysia dalam Statut Rom serta kemungkinan kesediaan kerajaan bersetuju menganggotai ICC dalam masa terdekat.

Pada 6 April tahun lalu, kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku perdana menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB pada hari sama.

Perdana menteri ketika itu turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi raja untuk menentang kerajaan dengan mendakwa kononnya Putrajaya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan raja-raja Melayu.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata kerajaan PN tidak berhasrat untuk menyertai ICC selaras dengan "suara majoriti" rakyat Malaysia.

"Kita akan memastikan tindakan kita berpandukan kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendak," katanya.