Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Isu NCR hanya akan selesai 161 tahun lepas pembentukan Malaysia'

Berdasarkan kepada proses mengukur tanah yang berjalan ketika ini, kerajaan hanya akan berjaya menyelesaikan isu tanah hak adat Bumiputera atau pun NCR selepas 161 tahun penubuhan Malaysia,

Larry Sng Nyerah (PH- Julau) berkata ia berdasarkan kepada anggaran 8,653 hektar lot individu yang diukur untuk setahun.

"Jika hanya 8,653 hektar lot individu yang diukur untuk setahun, 104 tahun diperlukan untuk menyelesaikan isu ini. Ini bermaksud 161 tahun selepas penubuhan Malaysia, barulah isu NCR akan selesai.

"Tambahan pula selagi tidak diwartakan, tanah-tanah adat ini akan dicerobohi oleh syarikat-syarikat pembalakan dan ladang kelapa sawit.

"Saya mempersoalkan komitmen kerajaan negeri Sarawak menyelesaikan isu NCR. Isu perwartaan dan geran tanah sudah selesai di Semenanjung yang mempunyai tanah yang lebih luas dan penduduk yang lebih ramai," katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen, hari ini.

Isu tanah adat adalah perkara yang membelenggu masyarakat negeri itu sudah sekian lama dan kerajaan telah bersetuju mengukur tanah adat berkenaan melalui peruntukan sebanyak RM41 juta.

"Menurut kajian saya, hanya 4.83 peratus tanah adat lot-lot individu telah diukur daripada keseluruhan 953,000 hektar tanah adat di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

"Pada 14 November 2018, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan bahawa 28,807 hektar lot individu berjaya diukur," katanya lagi.

Larry berkata, isu perwartaan dan geran tanah sudah selesai di Semenanjung yang mempunyai tanah yang lebih luas dan penduduk yang lebih ramai.

Dalam pada itu, dia turut menempelak perancangan Belanajawan 2021 yang seharusnya bertujuan untuk memerangi Covid-19.

"Kerajaan menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan Covid-19. Maka memohon kerjasama dan sokongan semua.

"Namun, adakah ini belanjawan Covid-19 jika hanya 5.3 peratus daripada RM322.5 bilion diperuntukkan untuk Kumpulan Dana Covid-19," katanya lagi.