Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hajiji tak pernah kata bakul makanan lewat sebab penjawat awam tak cekap

Pejabat Akbar Ketua Menteri hari ini menafikan hantaran yang tular menerusi media sosial bahawa Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mendakwa kelewatan serahan bantuan bakul makanan Covid-19 di Sabah berpunca daripada ketidakcekapan penjawat awam.

Menurut kenyataan pejabat itu, hantaran tersebut yang ditularkan menerusi semua platform media sosial dan disertakan dengan gambar Hajiji merupakan berita palsu.

Menurut kenyataan itu, hantaran tersebut berniat jahat untuk memburukkan dan melemahkan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah yang baru dibentuk serta pemimpinnya.

“Ketua menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya beliau sangat menghargai kerja keras oleh semua pihak yang terlibat dalam memerangi Covid-19 serta mereka yang menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, satu laporan akan dibuat kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mereka yang menghasilkan dan menyebarkan berita palsu itu.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.