Cadangan benarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP undang pelbagai reaksi
Cadangan kerajaan untuk memperluas jumlah pencarum yang layak mengeluarkan caruman dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengundang reaksi yang pelbagai daripada pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kerajaan pada awalnya merancang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1 secara bersasar, sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 12 bulan, kepada 600,000 pencarum yang layak.
Beberapa pihak yang dihubungi Malaysiakini menyambut baik cadangan itu namun mengharapkan bantuan lebih besar oleh KWSP untuk membantu mereka yang sangat memerlukan.
Anggota Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berpendapat tidak wajar untuk jumlah pencarum yang dibenarkan berbuat demikian dihadkan, dengan mengambilkira situasi yang dialami ramai buat masa ini.
“Kita dalam bencana. Dalam waktu Covid-19, mereka perlukan duit. Mereka tak ada kerja, bebanan hidup dan dipotong gaji.
“Itu bukan duit kerajaan. Itu duit pencarum. Kalau ada tujuh juta pencarum, tujuh jutalah (sepatutnya) dapat keluarkan (wang caruman),” katanya.
Untuk rekod, beberapa parti politik antaranya Umno telah menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran one-off sebanyak RM10,000 dari Akaun 1.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Najib Razak berkata sokongan partinya terhadap Belanjawan 2021 kali ini adalah bersyarat, dan mengekalkan gesaan agar pengeluaran sebanyak itu dibenarkan serta lanjutan moratorium pinjaman untuk enam bulan lagi.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Armand Azha Abu Hanifah pula menegaskan pendiriannya untuk menggesa pengeluaran simpanan KWSP one-off sebanyak RM10,000, seperti dilaporkan semalam.
“Satu keputusan yang baik jika kerajaan mengambil keputusan untuk berikan kelonggaran pengeluaran RM10,000 KWSP bagi meringankan beban rakyat yang terhimpit dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Ramai pencarum ada simpanan sedikit saja
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula menyokong usaha kerajaan namun meluahkan kegusaran berhubung keadaan simpanan pencarum KWSP.
KWSP mempunyai 14.6 juta pencarum aktif.
“Dalam 32 peratus pencarum ada kurang RM5,000 dalam Akaun 1. Dalam 2.2 juta pencarum pula ada kurang atau tiada simpanan dalam Akaun 2.
Menurut Presiden MTUC Abdul Halim Mansor, kebanyakan wang dalam KWSP adalah caruman kalangan yang telah bekerja lebih 10 tahun.
“Mereka yang bekerja kurang 10 tahun memang tiada simpanan yang cukup pada waktu ini,” katanya lagi.
Tidak akan selesaikan masalah
Menurut Parti Sosialis Malaysia (PSM), inisiatif kerajaan berhubung pengeluaran wang dalam KWSP tidak akan menyelesaikan masalah rakyat secara efektif.
“KWSP benarkan pengeluaran RM500 sebulan menggunakan duit pencarum yang akhirnya akan memberi kesan kepada simpanan masa depan mereka,” kata timbalan pengerusinya S Arutchelvan.
Arutchelvan menggesa kerajaan mempertimbang cadangan partinya untuk memperkenalkan program pendapatan asas sejagat (UBI), di mana mereka yang hilang kerja mendapat bantuan RM1,000 sebulan untuk tempoh setahun.
“Berdasarkan pengiraan kami, kerajaan perlukan anggaran RM22 billion untuk bantu dua juta rakyat yang memerlukan. Setiap mereka akan dapat RM1,000 sebulan untuk setahun.
“Ia lebih praktikal. Kita perlu selesaikan masalah mereka yang tidak mempunyai duit. Jika ada pekerjaan dan gaji, tidak akan layak untuk UBI,” jelasnya.
Katanya lagi, tujuan utama KWSP adalah untuk "memaksa" orang ramai menyimpan untuk masa depan, namun idea itu akan menjadi sia-sia jika mereka dibenarkan mengeluarkannya sebelum tiba masanya.
Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming pula menolak rancangan membenarkan pengeluaran tersebut.
“Dari memfokuskan Akaun 1 KWSP, kerajaan sepatutnya tinjau cara efektif lain untuk bantu golongan B40 dan M40 yang memerlukan bantuan tambahan untuk membayar pinjaman dan modal perniagaan.
“Ia juga termasuk lanjutan pinjaman moratorium, lebih banyak bantuan dana untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pinjaman dengan kadar faedah yang baik dengan tempoh proses yang singkat," katanya lagi.
Pegawai komunikasi korporat KWSP ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan mengumumkan perincian lanjut berhubung pengeluaran Akaun 1 pada 18 Nov ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai