Gadis jatuh gaung: Patuhi peraturan masuk hutan simpan - Jabatan Perhutanan
Jabatan Perhutanan Negeri Johor menasihati orang ramai khususnya penggemar aktiviti rekreasi supaya mematuhi setiap peraturan ditetapkan berhubung kemasukan ke dalam kawasan hutan simpan kekal, terutamanya di negeri ini.
Pengarahnya Datuk Salim Aman ketika dihubungi hari ini berkata memandangkan musim hujan sedang melanda negara ketika ini, orang ramai turut dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti pendakian di dalam hutan.
Beliau berkata bagi mengurangkan risiko kemalangan di samping mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini, pihaknya turut mengambil langkah menutup semua kawasan Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri serta kawasan pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal.
“Jabatan Perhutanan Negeri Johor berharap orang ramai dapat mematuhi peraturan ini,” katanya ketika mengulas kejadian seorang wanita meninggal dunia akibat tergelincir ke dalam gaung ketika melakukan aktiviti rekreasi di Bukit Banang, semalam.
Menurut Salim, berdasarkan semakan, lokasi kejadian tersebut bukan berada di dalam kawasan seliaan dan pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri, sebaliknya mendapati kawasan terbabit berhampiran dengan menara telekomunikasi yang juga kawasan larangan kepada orang awam.
“Dipercayai mangsa (wanita) melakukan aktiviti terbabit dengan masuk melalui tanah bermilik untuk sampai ke lokasi berlakunya kemalangan tersebut, yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor (Akta 313),” katanya.
Salim berkata kemasukan ke kawasan tersebut tanpa permit adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 47 Akta 313 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi semalam, Aina Nabilah Yusof, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala selepas tergelincir ke dalam gaung sedalam 80 meter.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai