Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penghuni bantah dewan jadi pusat kuarantin tanpa langkah keselamatan

Penghuni dan ahli Majlis Penempatan Sungai Buloh (MPSB) di Pusat Kawalan Kusta Negara mengadakan protes pagi ini berhubung rancangan menjadikan dewan orang ramai di situ sebagai pusat kuarantin Covid-19.

Ini selepas mereka mendakwa Hospital Sungai Buloh gagal mengambil langkah keselamatan dan pencegahan sebelum menjadikan dewan orang ramai itu sebagai pusat kuarantin.

Menurut majlis itu, hospital berkenaan telah menempatkan 110 katil di dewan itu semalam dan merancang untuk memindahkan 106 pesakit ke situ, hari ini.

Jelasnya, hospital itu tidak memenuhi perjanjian yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak pada 27 Okt lalu.

Perjanjian itu antara lain meminta pihak berkuasa mendirikan pagar kawat berduri dan penghadang untuk memisahkan zon merah dan hijau.

Selain itu, majlis itu juga meminta disiapkan kemudahan keperluan harian dan kawasan dekontaminasi untuk kakitangan perubatan.

Sehubungan itu ahli MPSB berkumpul di depan dewan berkenaan sekitar jam 9 pagi tadi dan mengangkat plakad tertera "janji tidak dipatuhi", "tiada pagar  jangan masuk" dan "lindungi kami".

Anggota majlis itu adalah sekumpulan bekas pesakit kusta yang berada di bawah Pusat Kusta Nasional dan berumur 65 tahun ke atas.

Pusat Kusta Nasional dibina pada tahun 1930 dan digunakan hingga tahun 1995. Pada asalnya dirancang sebagai penempatan untuk memisahkan pesakit kusta dari penduduk. Ia kemudian dikenali sebagai Lembah Harapan. 

Aktivis sebelum ini mendesak agar bangunan tersebut dipelihara dan diiktiraf sebagai warisan negara.

Presiden MPSB Tan Hing, berkata terdapat kira-kira 120 penduduk yang tinggal di penempatan tersebut dan mereka bimbangkan keselamatan kerana hospital berkenaan tidak mematuhi perjanjian sebelum ini.

"Virus itu berbahaya. Sekiranya pusat kuarantin tidak mempunyai pagar, bagaimana jika pesakit melarikan diri?

"Dan belum ada kemudahan disediakan, dewan ini belum bersedia untuk tempatkan pesakit," katanya

'Ambil kira kepentingan semua'

Sementara itu, naib presiden MPSB, Lee Chor Seng berkata mereka telah menyerahkan kunci dewan kepada hospital pada 27 Oktober, bagaimanapun tidak menyangka pihak hospital melanggar perjanjian tersebut.

“Kami semua tinggal sangat dekat (dengan dewan ini). Ada orang menjual bunga dan tumbuhan di sini juga. Kerajaan mesti mengambil kira kepentingan semua pihak," keluhnya.

Ahli majlis MPSB Abd Rauf Ibrahim memberitahu media bahawa mereka faham keperluan mendesak Kementerian Kesihatan dalam menyediakan lebih banyak kemudahan ekoran lonjakan kes Covid-19.

Namun, katanya kegagalan pihak hospital mengambil langkah keselamatan dan pencegahan sebelum menjadikan dewan orang ramai itu sebagai pusat kuarantin menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk setempat..

"Penduduk di sini semua sudah uzur dan tua-tua, mudah dijangkiti (virus) .... tetapi setuju dengan tindakan KKM (menyediakan pusat kuarantin ini) kerana ini adalah tugas negara dan kita harus berkorban.

"Tetapi, mana semua janji-janji yang kita mahukan? (Kekurangan) langkah keselamatan dan kawalan, itulah sebabnya kami tidak berpuas hati, ”katanya.

Sementara itu, Naib Setiausaha MPSB, Tan Ean Nee menegaskan bahawa tempat tersebut sebenarnya tidak sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin kerana ia tiada kurang kemudahan dan panas ketika siang.

Tan

Menurut Tan, pada masa sama mereka faham kekangan kementerian dan meletakkan beberapa syarat untuk pihak hospital.

Bagaimanapun, dia berkata pihak hospital telah meletakkan katil pesakit di dewan berkenaan tanpa makluman awal dan tiada langkah keselamatan seperti dijanjikan.

"Mereka tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa memberitahu kami. Penduduk dan pesakit kedua-duanya ada hak yang perlu dilindungi.

"Dalam keadaan sekarang yang penuh dengan kekangan, paling tidak kita dapat mengurus keperluan psikologi dan fizikal mereka (dengan menetapkan langkah-langkah yang diperlukan)," katanya.

Justeru. doa berharap pihak hospital akan mengambil kira kebimbangan itu dan berbincang dengan mereka sebelum mengambil langkah seterusnya.

"Ini demi pesakit, pegawai perubatan dan penduduk setempat," tambahnya.

April lalu, KKM telah mengubah suai Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Hospital Sungai Buloh untuk dijadikan wad bagi menempatkan pesakit Covid-19.