Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Benarkah lonjakan kes kluster Hentian sebab ujian tertunggak, soal MP Bangi

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menyoal sekiranya tunggakan dalam memproses sampel ujian menjadi punca lonjakan kes Covid-19 hari ini dalam kluster Hentian.

Menurut angka Kementerian Kesihatan, kluster tersebut menyaksikan 164 kes baru dalam 24 jam terakhir sehingga jam 12 tengah hari ini.

Kluster ini merekodkan sebanyak 662 kes setakat ini, 314 daripadanya kes aktif dan dalam rawatan manakala 348 kes yang lain telah pulih.

Mengenai sampel ujian RT-PCR, pegawai kesihatan telah mengambil 7,130 swab sebagai sebahagian daripada prosedur pengesanan kes aktif untuk kluster tersebut. Kementerian tidak mendedahkan berapa banyak keputusan yang belum selesai.

Ong maklum mukim Hentian Kajang - nama kluster itu - telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Oktober lalu.

Memandangkan Hentian Kajang berada di kawasan parlimennya, Ong menyoal apakah benar kenaikan jumlah kes hari ini berpunca akibat kelewatan dalam melaporkan hasil ujian.

"Kes-kes yang dikesan hari ini untuk klusrer Hentian mungkin berpunca daripada tunggakan sampel yang diambil pada awal PKPD pada akhir Oktober.

"Saya tidak dapat mengesahkannya kerana Jabatan Kesihatan Selangor tidak memberikan maklumat terperinci kepada orang ramai atau kepada kerajaan Selangor," katanya pada siri ciapan di Twitter malam ini.

Oleh itu, Ong (gambar atas) meminta kementerian untuk mendedahkan data ujian yang lebih terperinci termasuk jumlah ujian yang ditangguhkan dan kadar jangkitan untuk kawasan tertentu.

"Kami memerlukan akses terhadap data terperinci sehingga gambaran yang lebih jelas mengenai kadar dan mekanisme penularan Covid-19 dapat lebih difahami oleh masyarakat dan pihak berkepentingan lainnya.

"Ini juga akan membuat kementerian bertanggung jawab kepada media dan organisasi lain," tambah Ong.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan jumlah terkumpul ujian RT-PCR dan Kit Ujian Pantas (Antigen) di seluruh negara pada sidang media hariannya.

Beliau tidak memberikan perincian berdasarkan daerah atau mendedahkan jumlah ujian yang ditangguhkan.

Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 sebelumnya mendesak kementerian untuk meneruskan perkongsian data kes terperinci supaya membolehkannya membantu pengesanan kes aktif, ujian yang disasarkan, pemetaan strategik dan profil zon.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan enggan berkongsi data mentah (raw data) mengenai Covid-19 dengan pihak lain termasuk kerajaan negeri Selangor kerana kejadian masa lalu yang tidak diingini, yang tidak dijelaskan secara terperinci.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, dalam jawapan parlimen pada 4 Nov lalu, mendakwa tafsiran berbeza terhadap maklumat ini boleh menyebabkan kekeliruan dan orang ramai menjadi panik.

"Disebabkan juga oleh beberapa insiden tidak diingini yang telah berlaku sebelum ini berhubung pengurusan data mentah (raw data), KKM tidak dapat memenuhi permintaan sesetengah pihak untuk mendapatkan akses kepada data mentah Covid-19.

"Ia bagi mengelakkan risiko tafsiran data yang bertentangan atau tidak seragam oleh pelbagai agensi yang terlibat, yang berkemungkinan menyebabkan masyarakat menjadi panik dan bercelaru akibat maklumat yang disampaikan," kata menteri menjawab pertanyaan lisan Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan-Kuala Selangor).

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.