Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hamid Sultan peroleh perintah penggantungan sementara inkuiri JEC

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi prosiding inkuiri Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) terhadap beliau yang dijadualkan pada 25 Nov ini.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya dalam penghakimannya berkata status quo perlu dikekalkan sehingga pendengaran permohonan Hamid Sultan untuk mendapatkan kebenaran mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan JEC mengadakan prosiding siasatan terhadap beliau secara tertutup.

"Bagi mengelak sebarang ketidakadilan, mahkamah berpandangan bahawa status quo hendaklah dikekalkan buat sementara sehingga pendengaran permohonan untuk mendapatkan kebenaran. Oleh itu, mahkamah membenarkan penggantungan sementara sehingga tarikh pendengaran bagi kebenaran sahaja, yang telah ditetapkan pada 10 pagi 21 Dis," katanya dalam penghakiman menerusi e-mel.

Hamid Sultan, 65, memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman dalam usaha mencabar keputusan JEC mengadakan prosiding siasatan itu terhadapnya secara tertutup.

Peguamnya Datuk Joy Wilson Appukuttan ketika dihubungi pemberita memaklumkan bahawa Mariana membuat keputusan itu semasa prosiding yang diadakan menerusi komunikasi secara e-mel yang turut membabitkan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali, yang mewakili Pengerusi JEC dan JEC.

Appukuttan berkata semasa prosiding secara dalam talian itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membantah permohonan untuk perintah penggantungan sementara tersebut.

Beliau juga berkata permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman sepatutnya didengar hari ini namun susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pendengaran itu ditangguhkan sehingga 21 Dis.

Katanya salinan permohonan tersebut dan kertas kausa berkaitan telah diserahkan kepada AGC pada 6 Nov dan jabatan berkenaan dalam jawapannya bertarikh 9 Nov, membantah permohonan itu.

Peguam itu berkata permohonan untuk perintah penggantungan sementara inkuiri JEC telah difailakn selepas anak guamnya menerima sepucuk surat bertarikh 6 Nov daripada Pengerusi JEC yang menyatakan bahawa prosiding inkuiri terhadap Hamid Sultan akan diteruskan pada 3 petang 25 Nov.

“Menerusi surat bertarikh 10 Nov kepada Pengerusi JEC, kami telah antara lain meminta pengesahan sama ada inkuiri itu akan ditangguhkan susulan pelaksanaan PKPB namun kami belum menerima sebarang jawapan," katanya.

Pada 20 Okt lepas, Hamid Sultan, telah memfailkan permohonan untuk kebenaran bagi semakan kehakiman melalui Tetuan KH Lim & Co di Mahkamah Tinggi di sini dan menamakan Pengerusi JEC dan JEC sebagai responden.

Beliau meminta satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden sebagaimana yang terdapat dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 Sept serta mengisytiharkan bahawa keputusan itu adalah tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon satu deklarasi bahawa pewujudan panel tujuh anggota jawatankuasa itu untuk mendengar dan memutuskan aduan yang dibuat terhadapnya adalah melanggar prosedur serta peraturan undang-undang.

Hakim itu juga memohon deklarasi bahawa responden pertama sebagai pengerusi jawatankuasa itu, tidak layak mendengar atau memutuskan aduan yang dibangkitkan dalam usul responden pertama bertarikh 10 Ogos.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman, berkata permohonan itu dibuat sebagai membantah keputusan JEC yang tidak membenarkan permintaan beliau agar prosiding terhadapnya didengar dalam satu forum terbuka.

Beliau berkata permohonan itu difailkan berdasakan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi serta afidavit yang disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup.

"Ini bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman terutama apabila saya telah menyatakan bahawa saya tidak mahu prosiding terhadap saya dijalankan secara tertutup, dan sebaliknya saya memilih untuk mengadakan pendengaran secara terbuka.

“Saya juga telah diletakkan dalam keadaan yang amat memalukan dan diperli bukan hanya oleh rakan hakim tetapi juga oleh orang ramai," kata beliau dalam afidavit.

- Bernama