Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apa persediaan kita kalau TB melonjak lepas Covid-19?

Anggota parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail memberi amaran terhadap kenaikan kes tuberkulosis (batuk kering) sekiranya peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2021 tidak ditambah.

“Apa persedian yang kita ada kalau lepas Covid-19 berlaku lonjakan kes penyakit berjangkit seperti tibi dan lain-lain.

“Itu pembunuh besar dan masa khusus perlu diberikan untuk rawatan. Jadi harus tambah dana kalau kurang maka ranaplah.

“Maka saya harap dana KKM harus dinaik taraf,” katanya.

Pesakit TB, gambar hiasan

Azman berkata demikian pada sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laman web KKM, jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2019 adalah 26,352 kes - peningkatan 2% berbanding 25,837 kes pada tahun 2018.

Kadar kematian tibi pada tahun 2019 adalah 3.7 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, dilapor mendedahkan, sehingga 3 Oktober tahun ini, sejumlah 3,585 kes tibi direkodkan oleh negeri itu.

Dr Siti Mariah Mahmud

Sementara itu, Azman turut merujuk kajian London Imperial College yang mendedahkan peningkatan kes tibi secara global selepas tiga bulan negara serata dunia melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) susulan Covid-19.

“Apabila berlaku lockdown dan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, segala kerja asas tidak dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya lagi.

Menurut kajian tersebut, sekatan pergerakan global ekoran Covid-19 telah meningkatkan kes tibi - dijangkakan kira-kira enam juta jangkitan baru dan 1.4 juta kematian sehingga 2025.

Ini kerana, sekatan pergerakan menyebabkan lebih ramai petugas kesihatan menumpukan terhadap rawatan Covid-19, sekali gus melambatkan proses pemulihan penyakit tibi.