Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Top Glove: Penularan Covid-19 di kalangan pekerja tak jejas operasi

Top Glove, pengeluar sarung tangan getah pakai buang terbesar di dunia, mengatakan operasi mereka tidak terjejas susulan penularan Covid-19 di kalangan pekerja kilang mereka.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, syarikat itu menegaskan bahawa mereka berjaya mengawal kedaaan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan.

"Top Glove menegaskan bahawa pembendungan kes Covid-19 baru-baru ini yang melibatkan pekerja kami sangat terkawal.

"Top Glove dan Top Glove Doctors bekerja sangat erat dengan Kementerian Kesihatan, dan kami terus mematuhi langkah pencegahan yang ketat seiring dengan panduan dari KKM.

"Operasi Top Glove juga tidak terjejas," katanya.

Kenyataan itu sebagai balasan atas permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan Top Glove mengenai wabak Covid-19 baru-baru ini yang melibatkan pekerjanya, termasuk langkah-langkah yang diambil untuk mengekang penyebaran virus itu dan adakah kilang-kilangnya akan ditutup sementara.

Sebagai rekod, Top Glove adalah sebuah syarikat yang mempunyai tenaga kerja seramai 21,000 pekerja. Ia mengendalikan lebih 30 kilang di Malaysia, termasuk 26 di Selangor, yang kebanyakannya terletak di daerah Klang.

Pada 5 November, syarikat itu telah mengeluarkan siaran media yang menyatakan bahawa 17 pekerjanya diuji positif Covid-19 semasa aktiviti penyaringan dilakukan pada 2 November.

Dua hari kemudian, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa mereka telah mengesan kluster jangkitan baru yang dikenali sebagai Kluster Teratai yang kemudian memiliki sejumlah 74 kes positif dengan kes indeks ditelusuri melalui kegiatan penyaringan pada individu yang mengalami gejala pada 2 November.

Malaysiakini melaporkan pada 8 November, di mana sumber kerajaan negeri Selangor menyatakan bahawa Kluster Teratai melibatkan pekerja kilang Top Glove, yang kebanyakannya tinggal di asrama pekerja di Jalan Teratai di Meru, Klang.

Menurut Kementerian Kesihatan, hingga tengah hari semalam, kluster itu telah mencatat sebanyak 96 kes positif. Namun, tidak jelas sama ada semua kes dalam kluster itu melibatkan pekerja Top Glove atau tidak.