Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Vietnam capai pertumbuhan 6% KDNK atau lebih pada 2021

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam mungkin mencapai kadar pertumbuhan enam peratus atau lebih tinggi pada 2021, menurut pakar ekonomi dan industri, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Duong Manh Hung, seorang penganalisis kanan dari Pejabat Statistik Umum Vietnam, mengatakan ekonomi telah mengalami pemulihan yang kukuh (pertumbuhan 2.62 peratus) sejak suku ketiga 2020, setelah mencatatkan suku kedua yang rendah (pertumbuhan 0.39 peratus).

"Kejayaan negara dalam membendung pandemik menetapkan tempo bagi semua sektor ekonomi untuk memulakan kembali kegiatan secara normal. Contohnya, sektor perindustrian negara mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus pada Ogos, 3.5 peratus pada September dan 3.6 peratus pada Oktober," katanya.

Perniagaan dibuka semula dengan lebih 5,000 perniagaan kembali beroperasi pada Oktober, kenaikan mendadak hampir 20 peratus berbanding September. Di samping itu, lebih 12,200 perniagaan baharu didaftarkan pada Oktober. Hùng berkata pejabatnya yakin pertumbuhan KDNK negara akan mencecah dua peratus tahun ini dan enam peratus atau lebih besar pada 2021.

"Sudah tentu, ia juga akan bergantung kepada keadaan ekonomi utama dunia, terutama yang mempunyai hubungan perdagangan yang kuat dengan Vietnam termasuk AS, Kesatuan Eropah, Jepun dan Korea Selatan. Mungkin kita akan melihat pertumbuhan pesat sekali lagi pada 2022 atau 2023," katanya.

Ahli ekonomi Vo Tri Thanh, ahli Kumpulan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, dengan hati-hati optimis terhadap pemulihan ekonomi Vietnam.

Thanh berkata sementara pertumbuhan KDNK enam peratus dapat dicapai, pemulihan penuh akan memakan masa. Selain pandemik, kebangkitan nasionalisme dan proteksionisme di tempat lain di seluruh dunia boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi Vietnam.

-Bernama