Pendaftaran baru Bantuan Prihatin Rakyat sebelum hujung Januari 2021
Pendaftaran baru Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibuka sebelum hujung Januari 2021, kata Pengarah Belanjawan Negara Johan Mahmood Merican.
Ini bagi memberi peluang kepada mereka yang layak tetapi belum mendaftar untuk memohon BPR, katanya pada satu sidang media yang diadakan di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur, hari ini.
Johan berkata, bayaran BPR akan dibuat dua kali dengan yang pertama sebelum Hari Raya 2021.
BPR, dengan peruntukan RM6.5 bilion akan memanfaatkan 8.1 juta orang berbanding Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan peruntukan RM5 bilion dan memanfaatkan 4.3 juta rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan BSH diganti kepada BPR yang diperluas dan ditambahbaik.
Johan berkata ini termasuk pengenalan semula kategori bantuan bagi individu bujang berumur 21 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.
"Kerajaan pada masa ini berpendapat adalah wajar kita kembali kepada keadaan sebelum ini semasa pelaksanaan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dimana ia dibuka untuk semua bujang 21 tahun ke atas," katanya.
Di bawah BPR, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima sebanyak RM1,800.
Manakala, isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak pula akan menerima bantuan sebanyak RM800, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,200.
Kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada yang mempunyai dua anak atau lebih.
Disamping itu, individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah dan berumur 21 tahun ke atas pula akan menerima bantuan RM350.
Johan juga berkata, kerajaan turut bersedia menambah peruntukan di bawah BPR jika perlu untuk terus membantu golongan itu sekiranya permohonan melebihi jangkaan.
Ditanya mengenai golongan M40 yang tidak berpuas hati kerana berpendapat belanjawan itu hanya menjaga B40, beliau berkata, menjadi keutamaan bagi kerajaan untuk membantu mereka yang susah terutamanya isi rumah tergolong kategori miskin dalam menghadapi cabaran masa kini.
"Tetapi itu tidak bermaksud kerajaan mengabaikan nasib M40. Selain daripada pengumumnan cukai dikurangkan satu mata peratusan bagi individu yang berpendapatan bercukai dengan julat RM50,001 hingga RM70,000, beberapa lagi dari segi pelepasan cukai telah diumumkan yang bakal membantu M40 dari segi potongan cukai gaya hidup yang dinaikkan daripada RM2,500 kepada sehingga RM3,000,” katanya.
Berhubung pelepasan cukai untuk perbelanjaan rawatan perubatan, beliau berkata, skopnya diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi sehingga RM1000.
“Disamping itu, pelepasan untuk saringan kesihatan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1000,” jelasnya
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai