Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden KLSCH antara 4 didakwa lepaskan bahan buangan ke Sungai

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH) Ong Seng Khek antara empat pengarah syarikat sebuah kilang memproses minyak sawit terpakai yang didakwa melepaskan bahan buangan dari premis berkenaan ke Sungai Kundang, Rawang, tanpa lesen.

Selain Ong, 71, mereka yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini adalah Low Sze Wai, 66, Siow Lee Chen, 66 dan Ong Chee Ming, 34.

Menurut Bernama, keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Ketiga-tiga lelaki dan seorang wanita itu didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan dari premis Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd ke dalam parit yang mengalir ke Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen di premis syarikat itu di Lot 19701, Jalan KPK 1/3 , Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, Gombak pada 22 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam S.Y. Ong yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Dia juga mengatakan kesemua anak guamnya adalah pengarah syarikat berusia antara 60 dan 70 tahun.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang berlainan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang menganggu saksi pendakwaan dan melaporkan di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 7 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, kempat-empat pengarah syarikat itu menghadapi tuduhan berasingan di Mahkamah Majistret Rawang kerana membenarkan lapan migran haram berada di premis mereka tanpa kebenaran yang sah.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat pengarah itu didakwa dengan niat bersama membenarkan lapan pendatang Myanmar itu berada di dalam premis mereka pada 3 petang, 26 Okt lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin namun peguam mereka memohon jaminan lebih rendah atas alasan syarikat anak guamnya telah digulung.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang berlainan dan menetapkan 7 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.