Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tujuh soalan 'rintihan rakyat' kepada menteri pendidikan

ULASAN | Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin dan seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia di atas pengumuman penting sebentar tadi.

Sekurang-kurangnya terdapat dua pengumuman penting yang telah disampaikan iaitu penutupan semua sesi persekolahan sehingga Januari 2021 serta pindaan tarikh beberapa peperiksaan penting seperti SPM, STPM, SVM dan STAM.

Sejak pengumuman tadi juga, saya dihujani dengan pelbagai reaksi dan maklum balas dari pelbagai pihak. Timbul beberapa persoalan dan kebimbangan yang saya fikir wajar disuarakan dan diberikan tumpuan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Persoalan-persoalan ini mungkin kelihatan operasional, namun ianya memberikan dampak yang langsung dan menyentuh soal kehidupan rakyat seharian. 

Saya percaya rakyat yang sedang berdepan dengan kesukaran ekonomi di luar sana tidak boleh dibebankan dengan isu operasional KPM yang tidak jelas.

Pertama, pengumuman saat akhir penutupan sekolah ini telah menyukarkan ibu bapa yang terpaksa mencari cara untuk merentas negeri untuk mengambil anak-anak di asrama.

Persoalan yang dibangkitkan ialah mengapa pengumuman penting seperti ini dibuat secara tiba-tiba? Bagaimana dengan 2.4 juta keluarga miskin dan B40 yang terpaksa mencari wang untuk membeli tiket dan membiaya kos perjalanan dalam masa terdekat?

Kedua, apakah status guru duka lara yang telah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing? Selama ini mereka terpaksa menanggung beban membeli tiket berkali-kali akibat pengumuman saat akhir menteri kanan.

Adakah mereka dibenarkan kembali bersama setelah berbulan-bulan tidak bersua muka, terutama untuk mereka yang terpaksa berulang alik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung?

36.9 peratus murid tiada peranti di rumah

Ketiga, apakah nasib lebih dari 600,000 murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang hari ini tidak boleh ke sekolah?

Apakah menteri kanan mempunyai perancangan khas untuk membantu lebih setengah juta anak warga miskin dan B40 ini yang selama ini bergantung sepenuhnya dengan pengambilan RMT?

Kempat, apakah perancangan untuk lebih dari 70,000 pekerja kantin yang hari ini tiada gaji harian kerana sekolah ditutup?

Saya percaya jumlah mereka yang banyak ini memerlukan perhatian yang lebih besar oleh Kerajaan kerana mereka rata-ratanya datang dari golongan miskin dan B40.

Kelima, apakah perancangan menteri kanan untuk 36.9 peratus murid yang tiada peranti di rumah? Apakah perancangan alternatif untuk memastikan golongan ini tidak ketinggalan ketika rakan-rakan mereka yang lain melaksanakan kelas dalam talian bersama guru mereka?

Bagaimana pula dengan keluarga miskin dan B40 yang bukan sahaja tidak mempunyai peranti, bahkan tidak mempunyai talian internet di rumah?

Keenam, apakah perancangan menteri kanan untuk murid cicir setelah sekolah dibuka kelak?

Saya difahamkan murid tingkatan 2 dan 3 hanya akan kembali ke sekolah pada Mac 2021. Ini bermakna mereka akan berada di rumah sekitar 3 bulan.

Terdapat kajian yang menyatakan ketidakhadiran murid ke sekolah selama 14 minggu boleh menyebabkan anak-anak kehilangan pembelajaran seolah-olah 2 tahun lamanya. 

Adakah pihak KPM akan mengeluarkan data murid cicir pasca PKP kepada umum kelak?

KPM laksana saringan mental

Ketujuh, apakah KPM ada melaksanakan bantuan psikologi dan mental untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan penting seperti SPM dan STPM?

Saya percaya mereka adalah golongan yang paling terjejas akibat beberapa pengumuman tundaan peperiksaan.

Peperiksaan penting yang akan mereka duduki akan menentukan masa depan mereka kelak. Cadangan saya, KPM harus segera melaksanakan saringan mental dan mempunyai perancangan untuk memastikan motivasi mereka tidak jatuh berkecai semata-mata kerana kegagalan kita semua merancang yang terbaik buat mereka.

Saya percaya kesemua soalan-soalan ini adalah rintihan rakyat terbanyak, dari ibu bapa yang bergelut dengan masalah ekonomi, dari anak murid di sekolah, yang tiada peranti di rumah, yang kehilangan motivasi untuk menduduki peperiksaan, dari guru yang berjauhan dengan suami dan isteri masing-masing serta dari pekerja di sekolah yang akan terjejas akibat penutupan sekolah.

Menteri kanan perlu menjelaskan kepada rakyat apakah perancangan mereka secara menyeluruh. Rakyat tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan resah semata-mata kerana kegagalan komunikasi atau ketiadaan perancangan yang baik buat mereka.

Menteri kanan juga perlu menjalankan libat urus dengan kesatuan-kesatuan guru seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Malaysia Barat dan juga NGO-NGO berkaitan pendidikan dan meneliti input-input berguna dari mereka kerana mereka mewakili suara terbanyak para guru di Malaysia.

Saya merayu agar menteri menjawab semua soalan ini dalam masa terdekat. Saya juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak KPM untuk mempermudah sebarang urusan dan juga memastikan bukan sekadar nyawa anak-anak yang boleh diselamatkan, tetapi juga masa depan pendidikan mereka.


DR MASZLEE MALIK ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas menteri pendidikan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.