Melaka benarkan solat Jumaat, fardu di masjid ikut kapasiti
Melaka membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan di semua masjid dan surau khas Jumaat Negeri Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok (9 Nov) hingga 6 Dis depan.
Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata bagaimanapun kehadiran jemaah adalah mengikut kapasiti saiz masjid, dengan penjarakan fizikal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
“(Selain itu) kelas pengajian takmir, bacaan Yasin antara waktu Maghrib dan Isyak, kuliah Subuh dan kelas ilmu berskala kecil yang sedia ada, dibenarkan untuk dilaksanakan di semua masjid dan surau di Melaka.
“Setakat ini tiada masjid mahupun surau di Melaka yang ditutup berikutan penularan Covid-19 dan keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata ceramah Maulidur Rasul dan lain-lain ceramah jemputan rentas negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan dalam tempoh PKPB ini, manakala jamuan makan selepas kelas pengajian takmir dan bacaan Yasin pula tidak dibenarkan, dengan makanan disyorkan dibungkus dan dibawa balik oleh jemaah.
“Urusan perkahwinan di masjid dan surau adalah tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pendaftar Perkahwinan Daerah dan SOP keselamatan dan kesihatan hendaklah dipatuhi oleh semua masjid dan surau.
“Jabatan Mufti Negeri Melaka akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat Islam di negeri ini dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri,” katanya.
Kerajaan Persekutuan semalam mengeluarkan arahan untuk melaksanakan PKPB di seluruh semenanjung selama empat minggu bermula esok kecuali bagi Perlis, Pahang dan Kelantan berikutan kes jangkitan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.
Sebanyak 322 kes positif Covid-19 direkodkan di Melaka sehingga semalam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai