'Tak munasabah cukai pulang balik bagi pindahan ke kapal untuk rokok'
BELANJAWAN 2021 | Keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenakan cukai bagi kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan pemindahan barang ke kapal (transhipment) dan eksport semula dikecam sebagai satu tindakan yang tidak munasabah.
Pengerusi Gagasan Sosial Dinamik V Thiagarajen sebuah NGO yang memantau barang-barang tiruan di Malaysia mendakwa keputusan kerajaan mengenakan cukai ke atas pengimport rokok yang sah bagi tujuan transhipment secara tidak langsung akan menggalakkan penjualan rokok tiruan atau rokok yang tidak membayar cukai secara besar-besaran di negara ini.
"Yang pertama, keuntungan dalam perniagaan transhipment rokok import tidak besar. Setahu, saya margin keuntungan tidak sampai RM20 ribu untuk satu kontena.
"Tapi, sekiranya dikenakan cukai, maka pengimport perlu membayar sekurang-kurangnya RM2 juta untuk satu kontena sebelum dieksport semula ke negara lain.
"Jika, seorang pengimport membawa masuk tiga kontena, maka dia perlu bayar RM6 juta. Dia hanya akan memperolehi cukai itu semula selepas kontena-kontena itu dieksport ke negara lain.
"Jadi, secara logiknya cukai ini tidak masuk akal," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.
Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengumumkan Belanjawan 2021 berkata bahawa kerajaan bakal memperkenalkan beberapa langkah berhubung rokok import.
"Pertama, membekukan pengeluaran lesen import rokok baru. Kedua, memperketat pembaruan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import.
"Ketiga, mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja. Keempat, mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula.
"Kelima, tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit. Keenam, mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai," kata Zafrull.
Bagaimanapun, Thiagarajen berkata transhipment bermaksud membawa kontena mengandungi rokok diletakkan di zon bebas cukai di pelabuhan sebelum dieksport ke negara lain.
"Secara amnya, kita setuju dengan syarat-syarat yang lain. Tetapi, langkah yang keempat memang akan membunuh pemain industri yang membuat transhipment rokok import.
"Kenapa perlu kenakan cukai, sedangkan barang itu tidak masuk dalam negara. Sebaliknya, ianya akan disimpan di zon bebas cukai sebelum dieksport ke negara lain.
"Apakah tempoh pulang balik cukai tersebut? Contohnya, jika tempoh membayar balik mengambil masa tiga bulan maka seorang pengimport yang membawa masuk tiga kontena setiap bulan perlukan RM18 juta untuk tiga bulan sebelum mendapat balik pulangan cukai yang dibayar pada bulan pertama.
"Ramai, pemegang lesen yang sah tidak mampu untuk menjana dana sebesar itu, Jadi, ia akan membawa kepada penjualan rokok tiruan," katanya.
Untuk rekod, zon bebas cukai dikawal rapi oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.
Ketika, ditanya apakah keputusan kerajaan mengenakan cukai sebagai satu langkah untuk mengelakkan rokok tiruan di bawa masuk ke dalam negara, Thiagarajen menafikannya.
Jelasnya, memperketatkan pintu masuk sudah mencukupi untuk membanteras barang tiruan.
"Sebaliknya, bukan menyusahkan pemegang lesen yang sah dengan syarat-syarat baru," katanya sambil menambah akan menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat supaya menggesa menarik balik syarat ini.
Dihubungi kemudian, Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan MA Sivanesan mengesahkan bahawa kerajaan akan mengenaikan cukai pulang balik ke atas rokok import di zon bebas cukai.
"Ya, akan dikenakan cukai di zon bebas cukai.
"Kastam akan keluarkan SOP yang lebih jelas pada minggu depan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai