Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

P Pinang puji skim perumahan RTO dalam Belanjawan 2021

Kerajaan Pulau Pinang hari ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana memperkenalkan skim perumahan sewa untuk dimiliki (RTO) semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata beliau gembira kerana kerajaan Persekutuan mengikuti jejak negeri itu dalam memperkenalkan skim RTO itu bagi membolehkan lebih banyak orang memiliki rumah pertama mereka.

Beliau berkata konsep RTO telah diperkenalkan di Pulau Pinang sejak 2014 dan membantu pembeli membeli unit rumah kos rendah (LC) atau kos sederhana rendah (LMC) dengan kadar faedah sifar untuk tempoh antara 10 dan 20 tahun.

"Sehingga kini, kami telah mengenal pasti 2,474 unit perumahan RTO di seluruh Pulau Pinang iaitu hampir separuh daripada jumlah unit perumahan RTO yang dicadangkan semasa pembentangan Belanjawan 2021," katanya dalam sidang akhbar di George Town.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, mengumumkan kerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan unit perumahan RTO sehingga 2022, melibatkan 5,000 unit perumahan PR1MA di seluruh negara bernilai lebih RM1 bilion dan dikhaskan untuk pembeli rumah kali pertama.

- Bernama