Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Macam mana kerajaan tingkat pendapatan dengan potong cukai pendapatan?'

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua hairan bagaimana Putrajaya dalam Belanjawan 2021 boleh mencapai kenaikan hasil cukai pendapatan peribadi sebanyak 18 peratus.

Ini kerana kata Pua, kadar cukai pendapatan akan diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi individu yang berpendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 setahun.

"Kerajaan menjangkakan akan menambah hasil pendapatannya kepada RM172 bilion pada tahun 2021 daripada RM153 bilion pada tahun 2020. Itu tidak mengapa (bagi saya).

"Tetapi yang mengejutkan saya adalah sebilangan besar kenaikan yang diunjurkan berasal daripada cukai pendapatan peribadi, iaitu dari RM35.9 bilion hingga RM42.4 bilion (pada tahun 2021), yang merupakan kenaikan 18 peratus

"Saya tidak pasti bagaimana mereka akan mencapainya apabila mereka mengumumkan pengurangan satu peratus untuk satu golongan tertentu sekaligus meningkatkan 18 peratus cukai pendapatan individu," katanya pada wawancara bersama KiniTV awal hari ini.

"Saya juga tidak pasti bagaimana kenaikan itu setimpal untuk individu," katanya, sambil menambah beliau akan mengemukakan persoalan berkenaan ketika perbahasan belanjawan kemudian.

Langkah pelepasan cukai itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat Malaysia ketika wabak Covid-19.

Memandangkan kerajaan menyasarkan peningkatan kutipan cukai korporat kepada RM64.5 bilion tahun depan daripada RM59 bilion pada tahun 2020, Pua turut menyoal bagaimana komuniti perniagaan akan menghadapinya.

"Untuk syarikat, (cukai pendapatannya) juga ikut naik. Tidak pasti sama ada syarikat akan membayar tahun depan dengan persekitaran perniagaan (semasa)," katanya.

Sementara itu, pemimpin DAP itu berkata hanya sebahagian daripada enam cadangan yang dibawa oleh Pakatan Harapan yang dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021, khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan bantuan kebajikan dan keselamatan berjumlah RM1,000.

Pada 1 November, ahli parlimen dan pemimpin PH bertemu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi berbincang mengenai belanjawan di mana pembangkang mengemukakan enam cadangan.

Mesyuarat itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah menasihati ahli parlimen untuk menyokong dan memastikan Belanjawan 2021 lulus tanpa halangan.

Sebelum ini, terdapat desas-desus Belanjawan 2021 mungkin akan ditolak sebagai usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Walaupun begitu, Pua tetap menaruh harapan agar PN dapat terus mengambil saranan pembangkang semasa perbahasan anggaran di Dewan Rakyat minggu depan.

"Sebagaimana yang telah diputuskan oleh kepemimpinan DAP dan PH, kami akan membahaskan dasar-dasarnya. Kami akan membangkitkan penambahbaikan (yang diperlukan dan jika mereka) senang bekerjasama dengan kami, maka mungkin hal itu menuntut kami untuk menyokong belanjawan," katanya.

PH mungkin tidak memilih untuk berkecuali daripada mengundi jika tiada satu pun cadangannya yang diterima oleh gabungan parti pemerintah, katanya.