Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Belanjawan: Miti terima peruntukan RM1.206 bilion

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik peruntukan berjumlah RM1.206 bilion bagi tahun 2021 yang diterima oleh kementerian itu dalam Belanjawan 2021.

Menterinya yang juga merangkap Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada jumlah itu, RM582.34 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM623.89 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, peruntukan itu akan dapat membantu MITI dan agensi-agensi di bawahnya untuk melaksana dan menjayakan strategi dan program dalam sektor perdagangan, pelaburan dan industri yang telah dirancangkan bagi tahun 2021.

Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan program di bawah MITI menyokong pembangunan ekosistem ekonomi dan turut mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang secara langsung akan meningkatkan aktiviti perniagaan dan industri, potensi pelaburan asing dan domestik serta melindungi dan menjana pekerjaan baharu khususnya bagi rakyat tempatan.

“Peruntukan yang telah dicadangkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) ini bertepatan dengan peranan yang sedang dimainkan MITI, iaitu bertanggungjawab dalam sektor ekonomi negara.

"Kita sedang berusaha dengan MoF dan juga Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) untuk lihat bagaimana langkah-langkah dan inisiatif ini dapat menyokong dan memulihkan ekonomi negara melalui pengukuhan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang secara langsung merupakan teras utama kepada pertumbuhan ekonomi dan dapat melindungi pekerjaan bagi rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen susulan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Mohamed Azmin berkata selain meneruskan usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab industri baharu seperti halal, aeroangkasa, kandungan kreatif dan reka bentuk kejuruteraan, MITI turut komited untuk terus menarik lebih banyak pelaburan asing yang berkualiti.

"Kita sedia maklum bahawa perang dagangan Amerika Syarikat dan China membuka peluang yang luas kepada Malaysia untuk melihat bagaimana negara ini dapat bergerak secara lebih kompetitif untuk menarik pelaburan-pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke rantau ini dan khususnya ke negara Malaysia," tambahnya.

Malaysia mencatatkan pelaburan asing bernilai RM19.5 bilion pada pertengahan 2020, berbanding RM52.6 bilion atau pengurangan sebanyak 62.9 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata inisiatif meningkatkan kemahiran tenaga kerja turut mendapat peruntukan besar bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Antara program khusus di bawah MITI yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 termasuklah Dana Strategik RM1 billion sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi untuk sektor berteknologi tinggi, RM100 juta untuk menyelenggara kawasan perindustrian, RM45 juta bagi menyelesaikan isu pembekalan air yang menjejaskan sektor perindustrian di zon perindustrian Gebeng dan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion.

Kerajaan turut mengumumkan antaranya dana tambahan berjumlah RM150 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan Geran Automasi, pelonggaran syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dilanjutkan sehingga 31 Dis 2022 dan penurunan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre kepada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh lima tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh lima tahun lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed melahirkan keyakinan bahawa belanjawan kali ini akan diterima baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Yang pertama, kita alu-alukan belanjawan pengembangan. (Sasaran) defisit 6.0 peratus tahun ini dan 5.4 peratus tahun hadapan, amatlah dialu-alukan, kerana dalam keadaan semasa, tatkala kita berdepan masalah kesihatan dan ekonomi, adalah penting untuk kita terus mengembangkan kegiatan ekonomi.

“Oleh itu, jumlah peruntukkan RM322.5 bilion meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan adalah amat besar di dalam konteks (ekonomi) sekarang,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2021.

Mustapa turut berpendapat bahawa belanjawan kali ini telah meletakkan asas kukuh untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan awal tahun hadapan, berikutan beberapa projek yang diumumkan seperti pembinaan infrastruktur, penyelenggaraan, dan sebagainya.

“Dengan bajet yang cukup baik ini, ia memberikan kita ruang yang cukup baik untuk memastikan RMK-12 dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

- Bernama