Belanjawan 2021 ‘kecewakan rakyat dalam kesusahan' - Kesatuan sekerja, aktivis
Beberapa kesatuan sekerja dan aktivis NGO meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz gagal memenuhi keperluan terdesak masyarakat golongan B40.
“Sangat mengecewakan dan bajet 'takut-takut' (timid) dan kebanyakan polisi dikitar semula,” kata Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak MTUC Andrew Lo.
“Selain daripada bayaran fasa ketiga Bantuan Prihatin Nasional (BPN), di mana isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 dan keluarga dengan lebih dua orang anak akan terima RM1,800, yang lainnya semua diabaikan,” kata Lo.
“Pengurangan cukai sebanyak satu peratus hanya berbaloi dalam RM300 selepas mengambil kira pelbagai rebat dan pengurangan caruman KWSP hingga sembilan peratus dan membenarkan pengeluaran akan mengorbankan simpanan persaraan pekerja dan mengundang masalah masa depan,” tambahnya.
Kegusaran wanita tak diambil serius
NGO Empower Malaysia Dorathy Benjamin pula berpendapat belanjawan kali ini gagal memberikan perlindungan yang cukup buat pekerja, khususnya pekerja wanita.
“Secara asas, wanita telah mengalami peningkatan beban untuk menjaga anak, orang tua dan ahli keluarga lain ketika perintah kawalan pergerakan dikuat kuasa. Ini bermaksud peningkatan tenaga kerja asuhan kerana sekolah dan pusat jagaan harian ditutup. Krisis ini tidak diambil serius,” katanya.
Tengku Zafrul telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas bagi memperkasa usahawan wanita.
Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (Bizme).
Selain itu, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Irene Xavier (gambar atas) turut menggesa kerajaan untuk melihat dalam aspek meningkatkan gaji minimum.
“Perkara utama adalah majoriti wanita yang bekerja di skala gaji terendah- gaji minimum. Jika kerajaan benar ingin membantu wanita, mereka sudah gagal.
“Tiada penyelesaian panjang untuk isu ini. Pelan mikro kredit sangat kecil dan tidak tangani masalah secara luas,” kata Irene.
Jelas Irene, dia juga berharap terdapat peruntukan untuk ibu tunggal.
Tiada peruntukan buat industri terkesan
Presiden Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin pula 'berang' terhadap pengumuman Belanjawan memperuntukkan RM50 juta yang disediakan buat latihan semula dan penempatan pekerjaan 8,000 pekerja syarikat penerbangan.
“Ini tidak seberapa (peanuts). Industri tengah lemah dan perlukan bantuan kecemasan supaya perniagaan masih dapat dikekalkan,” kata Ismail merujuk keadaan pekerja AirAsia dan Malindo Airways yang dibuang kerja bulan lalu.
Latihan itu, katanya, hanya untuk pulihkan gejala dan bukan satu penawar untuk industri.
“Kita perlukan bantuan khusus untuk industri terkesan dalam pelancongan, khususnya syarikat penerbangan dan hotel.
"Latihan ini tidak bantu dalam situasi genting seperti ini dan hanya akan memberi pendapatan lebih kepada institut latihan, bukan penggangur,” tambahnya.
Turut senada dengan Ismail adalah Pengerusi Gabungan Pembaharuan Undang-Undang Baru, Gopal Kishan.
“Saya tidak lihat penyelesaian pantas terhadap pekerja dan golongan B40. Mereka antara paling rentan sejak Covid-19 dan sedang terseksa sekarang,” katanya.
Bantuan Orang Asli tak jelas
Aktivis Orang Asli Bah Tony pula berkata kesan peruntukan terhadap masyarakat itu tidak jelas kerana bantuan dilihat hanya disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa).
“Saya rasa kita perlu fokus kepada entiti yang berikan peluang pekerjaan supaya mereka dapat bantu golongan Orang Asli.
"Entiti itu harus merangkumi usaha profesional seperti firma undang-undang yang saya faham telah terkena wabak tersebut," katanya.
Bah Tony turut mempersoalkan rancangan kerajaan terhadap Orang Asli yang ingin memberi 500 peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong pada ketika itu.
Tak cukup untuk OKU
Aktivis orang kurang upaya (OKU) Anthony Thanasayan turut menyifatkan bantuan yang disalurkan kerajaan buat golongannya tidak cukup.
Dia berkata demikian selepas kerajaan membuat keputusan untuk meningkatkan dana sebanyak RM50 buat golongan OKU (RM450) dan bantuan kepada pihak terbabit yang kerja sebanyak RM300.
“Kita gembira kerajaan berikan bantuan tetapi hakikatnya tak cukup untuk bantuan makanan dan perubatan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai