ULASAN | K’jaan masih cuba isytihar darurat, dakwa Dr M
Saya difaham pihak kerajaan masih berusaha untuk isytihar darurat di negara tercinta ini.
Mengikut hujah mereka kononnya negara berada dalam keadaan krisis, dengan 10,000 anggota polis diserang Covid-19, satu juta orang asing sudah melanda negara ini dan kononnya jika darurat tidak diisytihar sebelum Isnin, 2 November, pasar saham akan jatuh merudum.
Ya, benar Covid-19 sudah meningkat sehingga lebih dari 1,200 pada beberapa hari. Tetapi ini disebabkan kerajaan pusat sengaja rebut kuasa di Sabah.
Kesan dari pilihan raya negeri (PRN) ialah ramai rakyat Sabah diserang Covid-19 dan mereka daripada semenanjung yang ke sana untuk berkempen dijangkiti Covid-19.
Apa perlunya Perikatan Nasional (PN) merebut kuasa kerajaan Sabah – terutama semasa kita diserang Covid-19?
Saya tidak tahu benar atau tidak 10,000 anggota polis diserang Covid-19.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kata 10,000 anggota dan pegawai polis telah dikuarantin, dan 200 disahkan positif.
Ya! 10,000 anggota polis diserang Covid-19 menggerunkan kita.
Tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador dilapor berkata jumlah tersebut adalah kumulatif dari bulan Mac. Jadi bukanlah 10,000 pada satu masa!
Laporan Hamzah tidak sebut perkara ini.
Walaupun angka kes baru tinggi tetapi tidaklah seburuk seperti negara lain.
Di Amerika Syarikat hampir 100,000 kes baru dilapor setiap hari. Kematian meningkat sampai 200,000 lebih berbanding hampir 300 di Malaysia.
Benar penduduk Malaysia 32 juta sementara penduduk Amerika Syarikat 360 juta atau lebih 10 kali ganda ramai.
‘PM itu manusia biasa’
Jika kadarnya sama kematian maka di Malaysia jumlah tentu lebih dari 300,000. Jadi sebenarnya kematian di Malaysia kurang seribu kali.
Berbanding dengan jiran-jiran kita juga keadaan kita lebih baik.
Apakah kuasa penuh oleh perdana menteri melalui darurat boleh kurangkan lagi kes Covid-19?
Apakah yang boleh dilakukan oleh perdana menteri dengan kuasa penuh daripada darurat yang tidak boleh dilakukan sekarang?
Belanjawan pun boleh dilulus oleh parlimen. Tetapi takkanlah tanpa melihat belanjawan, kita luluskan belanjawan. Itu seperti menandatangan “cek” kosong (blank cheque).
Kita percaya pada perdana menteri tetapi perdana menteri adalah manusia biasa – mungkin tersilap.
Kita juga ada idea yang baik yang boleh dimasukkan. Selepas itu kita luluslah.
Jika keadaan kritikal, parlimen boleh sebulat suara tangguh pilihan raya.
Fikirkanlah, jika berada dalam peperangan, kita nak ada pilihan raya jugakah? Tentu kita tangguh. Kita akur akan undang-undang. Tetapi tak akanlah sehingga mati. Kita sedar jika diadakan pilihan raya, beribu-ribu akan mati. Nak buat jugakah?
Kita pegang kuat kepada perlembagaan. Tetapi perlembagaan boleh dipinda jika lebih dari 2/3 bersetuju.
Berkenaan dengan dakwaan kononnya jika tidak diisytihar darurat sebelum 2 November, pasaran saham akan jatuh merudum pada 2 November.
Yang kita lihat ialah walaupun darurat tidak diisytihar sebelum Isnin 2 November, pasar saham tidak jatuh merudum. Sebaliknya pasar saham berada dalam keadaan sihat.
Jelaslah dakwaan bahawa pasar saham akan jatuh merudum jika darurat tidak diisytihar adalah cara untuk memaksa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong isytihar darurat.
Fikir dalam-dalam. Undang-undang untuk selamat kita, bukan untuk bunuh kita.
DR MAHATHIR MOHAMAD ialah anggota parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri.
Tulisan ini tidak semestinya tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai