Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Trump atau Biden? - Kiraan semula undi di kawasan panas mungkin jadi penentu

GLOBAL | Presiden Donald Trump dan calon Parti Demokrat, Joe Biden berdepan saingan pilihan raya melelahkan tetapi kini, hanya dengan kiraan undi semula di beberapa negeri yang menyaksikan undi beralih, mungkin boleh menentukan siapa bakal menduduki Rumah Putih, lapor agensi berita Anadolu.

Biden selaku bekas naib presiden, berjaya menarik sokongan pengundi di tiga negeri dikuasai Trump pada pilihan raya 2016 iaitu Michigan, Wisconsin dan Arizona, tetapi presiden berikrar untuk memohon kiraan semula undi di Wisconsin serta sudah pun memfailkan tuntutan mahkamah bagi menyekat kiraan undi di Michigan dan Pennsylvania, mendakwa wujud pelanggaran peraturan dan 'penipuan'.

Tuntutan mahkamah itu membangkitkan isu peti undi pengundi awal dan memohon kehadiran pemerhati di pusat penjumlahan undi.

Dalam satu rayuan secara tergesa-gesa pada Rabu, peguam Trump, Rudy Guiliani yang juga bekas Datuk Bandar New York memberitahu sidang akhbar di Philadelphia, bahawa sebenarnya sudah menang di Pennsylvania dan pilihan raya presiden.

Eric Trump, anak kedua presiden, mendakwa Demokrat menipu dengan melakukan pemalsuan serta berkata, pasukan kempen mereka akan mengemukakan saman bagi menghalang kiraan undi.

Seperti apa yang berlaku di Florida dalam pilihan raya 2000 yang mendapat perhatian dunia, kiraan semula undi boleh dipohan di negeri-negeri Amerika bagi mengesahkan tiada sebarang kesilapan dibuat ketika penjumlahan awal dan bagi menangani dakwaan penipuan dan pencabulan peraturan.

Pada 2000, kiraan semula dilakukan di Florida, tetapi Mahkamah Agung mengarahkan ia dihentikan, menyaksikan kemenangan calon Republikan, George W Bush mengatasi Naib Presiden Al Gore daripada Parti Demokrat.

Bagaimanapun, menurut undang-undang negeri Wisconsin, pihak yang bertelagah tidak boleh memohon penjumlahan semula undi sebelum keputusan pilihan raya disahkan pada 1 Disember.

Banyak lagi peti undi pos belum dikira

Agak mengelirukan bagi sesetengah pemerhati asing, peraturan pilihan raya Amerika tidak tertakluk di Washington dan negeri serta sesetengah daerah, mereka mempunyai pelbagai undang-undang dan peraturan lain yang perlu dirujuk andai berlaku pertikaian.

Peraturan negeri Wisconsin menyatakan, kiraan semula undi boleh dimohon calon jika keputusan menyaksikan kemenangan majoriti tipis iaitu hanya satu peratus. 

Sehingga awal pagi Khamis, Biden mendahului Trump dengan 0.7 peratus.

Di Michigan pula, negeri itu akan melakukan penjumlahan semula undi secara automatik jika calon dipisahkan dengan margin 2,000 undi atau kurang. Sehingga awal pagi Khamis, Biden di depan Trump dengan kelebihan 136,000 undi di kawasan Wolverine.

Di negeri ini, untuk mendapatkan kebenaran kiraan semula, pengurusan kempen mesti menyerahkan petisyen berhubung dakwaan penipuan atau kesilapan penjumlahan, dalam tempoh 48 jam.

Kiraan semula kertas undi di Pennsylvania ketika ini kelihatan mungkin tidak akan dijalankan kerana Trump mendahului Biden dengan 2.6 peratus dan negeri itu memperuntukkan peraturan penjumlahan semula undi jika saingan menyaksikan majoriti kecil 0.6 peratus atau kurang, atau jika pegawai pusat mengundi mendapati berlaku pelanggaran peraturan sewaktu penjumlahan.

Bagaimanapun, masih banyak lagi peti undi pos belum dikira di Keystone, yang mungkin merubah keputusan.

Di negeri lain yang menyaksikan undi beralih berbanding ramalan parti, pasukan kempen Trump dan Biden belum membangkitkan isu mengenai permohonan mendapatkan perintah penjumlahan semula kertas undi.

Trump kini di depan dengan kelebihan 1.4 peratus atau 77,000 undi di Carolina Utara, satu lagi negeri yang dianggap kawasan panas dan mungkin menyaksikan presiden itu memohon penjumlahan semula undi kerana marginnya antara 10,000 undi atau 0.5 peratus.

Di Nevada Biden mendahului dengan 0.6 peratus atau majoriti 7,600 undi, tetapi negeri ini tidak menetapkan peraturan kiraan semula automatik, namun calon boleh mengemukakan permohonan andai beliau sedia membayar kos dan deposit itu akan dipulangkan jika keputusan penjumlahan undi berubah.

Trump menang tipis di Georgia apabila memiliki kelebihan 0.4 peratus atau 22,000 undi dan tanpa kiraan semula automatik, calon boleh memohon andai saingan menyaksikan majoriti hanya 0.5 peratus atau kurang.

- Bernama