Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan sedia pertimbang mohon Agong isytihar darurat di kawasan pilihan raya

PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memohon pengisytiharan darurat untuk kawasan tertentu yang terlibat dengan pilihan raya.

Jelas menteri undang-undang itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memohon pengisytiharaan itu dengan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut keperluan.

“Dalam Artikel 150 jelas Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk adakan proklamasi darurat seluruh negara atau mana-mana bahagian, sekiranya dirasakan perlu mungkin kerajaan akan fikirkan.

“Kalau tak keseluruhan, mungkin mana-mana bahagian. Pokoknya dari segi perlembagaan ia dibolehkan,” kata Takiyuddin sewaktu soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata demikian menjawab persoalan daripada ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Karim.

Hassan bertanya sama ada kerajaan pusat bercadang untuk menghadap Agong sekali lagi bagi mendapat perkenan supaya diisytiharkan darurat di kawasan tertentu sahaja di Batu Sapi dan Sarawak.

Hassan berkata ini bagi menangguhkan kedua-dua pilihan raya di parlimen dan negeri itu.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini.

PRN Sarawak pula perlu diadakan sebelum mandat kerajaan negeri Sarawak berakhir, iaitu pada Jun 2021.

Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Sementara itu, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata kos bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berjumlah RM130 juta.

Katanya, ini merangkumi perolehan pembelian, sewaan peralatan Pilihan Raya, keperluan peralatan, sistem ICT, logistik, elaun petugas Pilihan Raya dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan.

"Perbelanjaan ini turut mengambil kira, keperluan peralatan dan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19," katanya.

Takiyuddin berkata demikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meminta kerajaan menyatakan kos-kos yang telah disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agensi-agensi kerajaan yang lain seperti polis, Jabatan Penerangan dan sebagainya untuk mengendali pilihan raya negeri Sabah tahun 2020.