Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah tangguh 2 permohonan berkaitan projek solar Sarawak

Berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), pendengaran permohonan untuk menggugurkan saman berkaitan berhubung projek kontroversi tenaga solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion, ditangguhkan ke 9 Disember.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menangguhkan pendengaran permohonan penghakiman ringkas saman itu oleh perunding perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin ke tarikh yang sama.

Peguam Rayyan, Ravee G Uthirapathy hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa mahkamah memaklumkan pihak terlibat berkenaan penangguhan menerusi emel pada minggu lalu.

"Pada 31 Oktober, kami (pasukan peguam Rayyan) menerima notis menerusi emel (dari mahkamah) bahawa pendengaran hari ini ditangguhkan dan ia akan didengar pada 9 Disember," katanya.

Pada 29 September, mahkamah pada mulanya menetapkan hari ini untuk mendengar kedua-dua permohonan. Rayyan memohon penghakiman ringkas untuk saman itu manakala defendan, iaitu Saidi memohon pembatalannya.

Penghakiman ringkas ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

PKPB dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 26 Oktober lalu. Setakat ini, perintah itu dilanjutkan sehingga 9 November.

Pada 13 Julai, portal The Edge Markets melaporkan Rayyan memfailkan saman terhadap Saidi atas dakwaan tidak membuat bayaran perkhidmatan atas bantuannya untuk membolehkan Jepak Holdings mendapat kontrak projek solar hibrid di 369 sekolah pedalaman Sarawak.

Menurut laporan itu, Rayyan membuat sebanyak RM9 juta, yang dikatakan sebagai baki untuk bayaran berjumlah RM10 juta, tambahan RM20 juta untuk kerugian peluang pelaburan dan perniagaan, ganti rugi am, faedah serta kos.

Rayyan dan Saidi adalah saksi pendakwaan dalm kes rasuah isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor berkaitan projek tersebut.

[Baca berita asal]