Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

RUU tunda PRU? - 'Ahli politik boleh berkuasa selama-lamanya' - Bersih

Sekiranya undang-undang baru digubal bagi membolehkan kerajaan menunda pilihan raya umum, maka ia dapat mengundang penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik untuk terus berkuasa selama-lamanya, kata Bersih.

"Ini akan menjadi satu lagi undang-undang lain bagi ahli politik untuk terus berkuasa dan untuk mengelakkan satu lagi kekalahan pilihan raya," kata NGO reformasi pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Menangguhkan pilihan raya akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan (Undang-undang tubuh) negeri, yang tidak dapat dilaksanakan, tidak diinginkan dan tidak wajar dilakukan dalam konteks politik semasa.

"Majoriti dua pertiga untuk pindaan perlembagaan tidak mungkin dilakukan di parlimen dan di banyak DUN," kata Bersih.

Pada pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat, MP BN Padang Terap Mahdzir Khalid menyoal sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda perlembagaan atau mewujudkan RUU khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik Covid-19 bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes bagi menjamin kepentingan umum.

Bagaimanapun, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan perwujudan suatu Rang Undang-undang (RUU) untuk menanggungkan pilihan raya dalam tempoh pandemik Covid-19.

"(Ini) tidak bersesuaian dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan manakala untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sokongan dua pertiga ahli parlimen diperlukan.

"Pihak kerajaan boleh mencadangkan penangguhan suatu pilihan raya sekiranya pandemik ini difikirkan boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pengundian boleh dijalankan dengan selamat semasa wabak Covid-19 sekiranya kerajaan memperluas kemudahan pemilih yang tidak hadir, untuk membolehkan lebih banyak pengundi didaftarkan sebagai pengundi pos dan pengundi awal, saran Bersih.

"New Zealand dan Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat di mana pengundi diizinkan untuk memilih dalam suatu tempoh masa dan bukannya hanya dalam satu hari seperti yang dipraktikkan dalam sistem pilihan raya kita.

"Akibatnya, kesesakan ketika pilihan raya dapat dielakkan dengan mudah dan keselamatan pengundi dapat terjamin ketika wabak," kata Bersih.