Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Permohonan Jawatankuasa Etika Hakim batalkan saman Hamid didengar 21 Dis

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Dis bagi mendengar permohonan Jawatankuasa Etika Hakim dan pengerusinya, untuk membatalkan saman oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer ke atas mereka.

Peguam Hamid Sultan, Joy W Appukuttan mengesahkan perkara itu selepas pengurusan kes yang dijalankan menerusi e-review dengan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

E-review merupakan satu bentuk telesidang dalam talian, membolehkan pihak-pihak terlibat dalam urusan mahkamah menjalankan pengurusan kes dengan pendaftar mahkamah tanpa perlu hadir ke mahkamah.

“Permohonan pembatalan itu ditetapkan untuk didengar pada 21 Dis,” maklum Appukuttan kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 27 Okt, jawatankuasa itu dan pengerusinya dilaporkan memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan undang-undang oleh Hamid Sultan, yang menyasarkan penyiasatan jawatankuasa itu ke atas afidavit hakim kanan berkenaan, berhubung penipuan dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam badan kehakiman.

Pada 9 Oktober, Hamid Sultan memfailkan saman pemula untuk mencabar siasatan jawatankuasa berkenaan berhubung afidavitnya mengenai dakwaan salah laku hakim.

Selain jawatankuasa itu dan pengerusinya, saman pemula itu turut menamakan peguam Sangeet Kaur Deo dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla, sebagai defendan.

Pada 16 Ogos, Hamid Sultan dilaporkan menerima surat tunjuk sebab dari Jawatankuasa Etika Hakim berhubung afidavit tersebut.

Di dalam afidavit yang difailkan Feb tahun lepas, Hamid Sultan membuat beberapa tuduhan, menyebabkan kerajaan PH mengumumkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, RCI itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PH tumbang pada hujung Februari lalu.

Sangeet berpandukan afidavit Hamid Sultan telah menyaman ketua hakim negara bagi dakwaan salah laku kehakiman. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan samannya itu pada 22 Oktober tahun lepas.

Haniff Khatri sebelum ini cuba menjadi pencelah dalam saman Sangeet ke atas ketua hakim negara, tetapi tidak berjaya.

Menerusi saman itu, Hamid Sultan mendakwa, antara lain, isu-isu yang dikaitkan dengan afidavitnya perlu dikendalikan oleh RCI, bukannya ditentukan oleh jawatankuasan berkenaan.